PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku gangguan terhadap persaingan dalam pasaran ayam.
Hal ini berikutan susulan pengumuman terkini kerajaan untuk menghapuskan subsidi dan kawalan harga ke atas ayam berkuat kuasa semalam.
Dalam satu kenyataan, MyCC memberi komitmen dalam memantau aktiviti pasaran ayam selepas harga bahan mentah itu berubah daripada harga siling berjumlah RM9.20 bagi setiap kilogram kepada harga yang akan ditentukan oleh keadaan semasa pasaran.
“Meskipun terdapat persaingan dalam pasaran, kami akan terus memantau pasaran secara dekat bagi mengesan sebarang tanda-tanda kewujudan pelakuan antipersaingan.
“Pemansuhan subsidi dan penghapusan harga kawalan bagi ayam tidak boleh diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.
“Sama seperti penyiasatan yang MyCC laksanakan pada tahun lepas terhadap syarikat pengeluar makanan ayam, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang tanda yang menunjukkan bahawa terdapat gangguan terhadap proses persaingan oleh mana-mana pemain industri dari mana-mana peringkat rantaian bekalan sekalipun,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MyCC, pihaknya bagaimanapun setakat ini masih belum menerima sebarang aduan berkaitan perkara itu.
“Setakat ini, berdasarkan pemerhatian kami, persaingan dalam pasaran ayam dilihat menunjukkan tanda-tanda yang positif.
“MyCC melihat bahawa bekalan ayam di pasaran tidak mengalami sebarang gangguan dan harga ayam bagi tempoh dua hari pertama tempoh peralihan ini dijual dalam lingkungan harga RM6.49 hingga RM11.00 bagi setiap kilogram,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
Bagaimanapun, subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C tetap diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada. -UTUSAN










