KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan kadar sara diri (SSR) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 menerusi inisiatif Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, di bawah program itu, produktiviti padi akan dipertingkatkan menerusi Model Mini Sekinchan dan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.
“Matlamat pelaksanaan Program Smart SBB adalah untuk mencapai SSR beras negara kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030,” katanya pada sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd Isa [BN-Tampin] yang mahu mengetahui jenis tanaman serta ternakan yang sedang diberi tumpuan bagi menambah baik tahap sara diri supaya dapat meningkatkan keterjaminan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.
Foong Hin berkata, kementerian memantau status bekalan lapan komoditi makanan utama iaitu beras, sayur, buah, ayam atau itik, telur ayam atau itik, daging lembu, susu segar dan ikan.
“Kadar SSR yang dicatat bagi bahan makanan utama bagi 2022 ialah beras (62.6 peratus), sayur (44.7), buah (78.1), daging lembu (14.7), ayam/itik (94.4), ayam/itik (108.9), susu segar (57.3) dan ikan sebanyak 90.2 peratus,” katanya.
Menjawab soalan tambahan berhubung langkah kementerian memulihkan stigma golongan muda yang menjauhi sektor pertanian, Foong Hin berkata, strategi baharu dilakukan antaranya program agropreneur muda.
Katanya, program itu membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dengan memberi bantuan dalam bentuk barangan bernilai RM20,000 bagi setiap individu.
“Pada 2021, seramai 96 orang penternak muda menerima bantuan bernilai RM1.92 juta manakala pada 2022, seramai 77 penternak muda mendapat bantuan berjumlah RM1.54 juta,” katanya.-UTUSAN










