IPOH: Menuntut kerusi tambahan untuk ditandingi bukan menjadi keutamaan buat MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak sebaliknya adalah memenangi kerusi yang telah diperuntukkan.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, keutamaan MIC ketika ini adalah membantu Barisan Nasional (BN) dalam PRN dan sebarang keputusan mengenai agihan kerusi perlu dibuat berdasarkan peluang kemenangan terbaik.
“Semua pihak perlu faham bahawa ini bukan soal mendapatkan lebih banyak kerusi, apa yang penting adalah memenangi kerusi yang diperuntukkan.
“Jadi, kita perlu memilih pendekatan terbaik. Ia bukan lagi soal mahu lebih banyak kerusi atau menuntut kerusi tertentu. Semua orang mahu (lebih banyak kerusi), tetapi jika tidak menang, rugilah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Keluarga sempena Ulang Tahun MIC ke-80 di Taman D.R Seenivasagam, di sini hari ini.
Menurut Vigneswaran, rundingan kerusi untuk PRN Johor telah dimuktamadkan manakala rundingan bagi PRN Melaka yang dijangka diadakan dalam masa terdekat dipercayai tidak berdepan masalah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah dan kerusi yang akan ditandingi MIC di Johor kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Itu terpulang kepada Pengerusi BN untuk umumkan, saya tiada kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaan MIC dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata parti itu sentiasa bersedia jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.
Malah katanya, semua program yang dijalankan ketika ini juga turut menjurus ke arah persiapan menghadapi pilihan raya, selain bertujuan mendekati akar umbi dan rakyat.
“Tapi pada pandangan peribadi, saya tidak fikir PRU akan diadakan (dalam masa terdekat), tetapi pilihan raya di peringkat negeri, pastilah akan berlaku,” katanya. – UTUSAN










