Ribut petir, angin kencang dijangka landa Lembah Klang hingga petang ini - Utusan Malaysia

Ribut petir, angin kencang dijangka landa Lembah Klang hingga petang ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah sehingga pukul 2 petang ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kawasan terlibat meliputi beberapa daerah di Selangor (Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Amaran sama turut melibatkan kawasan perairan Selangor, Johor Barat, Sabah Barat dan Labuan.

Kawasan perairan timur Phuket, Selat Melaka, Samui, utara Tioman, Condore, barat laut Bunguran, Palawan, Sulu dan Sulawesi juga dijangka terlibat.

Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca buruk itu berpotensi menyebabkan tiupan angin sehingga 50 kilometer sejam (km/j) serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, sekali gus membahayakan bot kecil dan aktiviti di laut.

Dalam perkembangan sama, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama turut dikeluarkan melibatkan kawasan perairan Perlis dan Kedah serta Pulau Pinang.

“Keadaan sama turut dijangka melanda kawasan perairan Sabah Barat dan Labuan sehingga esok.

“Angin kencang barat berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku, ini membahayakan bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi sektor perkapalan, MetMalaysia berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara sehingga esok.

“Kawasan perairan Contdore, selatan Reef North, Labuan dan Sulu juga turut dijangka terlibat.

“Dalam masa sama, angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dijangka berlaku di kawasan perairan utara Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

“Kawasan tersebut dijangka mengalami tiupan angin barat berkelajuan 50 hingga 60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter sehingga esok,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai terutama komuniti maritim, nelayan dan pengusaha pelancongan laut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN