LANGKAWI: Kuasa membeli berkurangan serta trip perjalanan feri yang terhad menjadi antara punca menyumbang kepada kadar kemasukan pelancong semakin menurun ke pulau pelancongan ini.
Tinjauan di Pantai Chenang di sini mendapati, kawasan tumpuan pelancong tersebut seperti biasa akan lengang tanpa kehadiran orang ramai pada hari biasa dan sedikit bertambah menjelang hujung minggu.
Seorang peniaga barangan cenderahati, Halijah Rahman, 48, berkata, pada hujung minggu kebiasaannya jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi adalah lebih ramai berbanding hari biasa.
“Perbezaannya sangat tinggi dan saya dapat melihat perbezaan kira-kira 70 peratus bagi hasil jualan pada hujung minggu berbanding hari-hari biasa.
“Saya berpendapat ramai orang yang datang bercuti tetapi mereka terpaksa berjimat kerana kuasa membeli yang semakin berkurangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, hasil perniagaannya kini dikira hanya sekadar cukup makan dan tidak dapat membuat simpanan seperti ketika berniaga sebelum tahun 2020.
Sementara itu, seorang pengusaha kereta sewa, Hisham Nordin, 34, berkata, isu kereta sewa yang didakwa dilelong pengusaha hanyalah prosedur biasa bagi mereka.
“Tidak semua jual kerana faktor kewangan atau berdepan tunggakan bank tetapi kenderaan yang sudah lama akan dilelong bagi membolehkan pengusaha menggantikan kereta model baharu.
“Namun begitu, masalah perjalanan feri tetap menjadi punca utama menyebabkan kadar kemasukan pelancong ke Langkawi berkurangan sehingga pelancong lebih berminat untuk ke Thailand,” katanya.
Jelasnya, kemudahan aksesibiliti tanpa perlu bergantung kepada perjalanan feri menjadi sebab Thailand menjadi pilihan walaupun kadar mata wang negara itu lebih tinggi berbanding ringgit ketika ini.
Bagi pengusaha kedai makan di Padang Matsirat, Mohd. Hannan Hanif Abdul Halim, 34, kedainya pula didatangi pelanggan secara bermusim.
“Contohnya musim gaji akan ada ramai pelanggan berbanding pada hari-hari lain. Jadi ada sesetengah peniaga biasanya akan mengambil cuti panjang ketika waktu kurang pelanggan dan akan berniaga setiap hari pada waktu pelancong ramai,” katanya. – UTUSAN









