PETALING JAYA: Selepas beberapa hari terputus telekomunikasi dengan keluarga mentua di Palestin, Nurul Ain Haron, 37, mengucap syukur apabila mendapat khabar orang tersayangnya berada dalam keadaan baik dan selamat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain berkata, sejak kelmarin keluarganya yang menetap di Khan Younis, Selatan Gaza boleh dihubungi semula selepas beberapa hari terputus hubungan.
Katanya, kegagalan komunikasi sebelum ini berlaku disebabkan beberapa faktor dan masalah yang tidak dapat dielak, namun kini kesemuanya berjaya diselesaikan.
“Alhamdulillah, baru semalam (kelmarin) saya dan suami dapat hubungi keluarga di Palestin. Mereka semua berada selamat jadi saya amat bersyukur untuk perkara tersebut.
“Kami tidak boleh berhubung sebab bateri untuk cas telefon dan sebagainya habis, sebelum ini adik ipar saya yang menjadi tukang cas sebab bateri digunakan tu berat. Sekarang tangan dia patah sebelah dan tangan sebelah lagi pula melecur kerana tertuang air panas dalam keadaan gelap,” katanya ketika dihubungi.

Nurul Ain bersama suami, Mohamed Adan Shaat, 33 yang juga merupakan warga Palestin selamat tiba di Malaysia pada 14 November lalu selepas lebih 40 hari bertahan hidup dalam kekejaman yang dilakukan oleh pihak Israel.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Gaza kini dilanda masalah kebuluran kritikal berikutan bekalan makanan yang terhad dan jika masalah ini berterusan dalam tiga minggu lagi, lebih ramai rakyat Palestin berdepan maut. – UTUSAN










