Najib nafi dakwaan terbaru Sirul, tidak pernah terlibat kes Altantuya - Utusan Malaysia

Najib nafi dakwaan terbaru Sirul, tidak pernah terlibat kes Altantuya

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tampil menafikan dakwaan terbaru Sirul Azhar Umar dalam wawancara Al Jazeera mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada 2006.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Firma Peguambela dan Peguamcara Shafee & Co selaku klien kepada bekas Perdana Menteri tersebut.

“Kami ingin mengulangi bahawa anak guam kami, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah dibebaskan secara konklusif daripada sebarang penglibatan dalam kes ini.

“Pembebasan ini telah disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk penyiasatan dimulakan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (2018) dan pengesahan semula oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya melalui rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang didengar secara menyeluruh atas meritnya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, dalam semua prosiding mahkamah tersebut, tidak ada mana-mana mahkamah ini yang mengaitkan penglibatan Najib, sama ada oleh pihak pendakwaan atau pembelaan.

“Hanya dalam percubaan terakhir di peringkat semakan, bekas Inspektor Azilah Hadri cuba memberikan naratif yang membabitkan anak guam kami di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 2020 bahawa dakwaan itu tidak mempunyai substansif dari segi prosedur dan merit.

“Perkara ini adalah konsisten dengan pendirian pelanggan kami selama ini yang berkali-kali mengatakan bahawa Najib tidak pernah bertemu atau mengenali Altantuya,” katanya.

Namun, firma guaman Najib menyifatkan, kenyataan Sirul dalam temu bual tersebut membayangkan seolah-olah beliau melakukan campur tangan atau pengaruh ke atas Sirul, kononnya untuk melindungi Najib, naratif yang agak berbeza daripada Azilah yang mengukuhkan lagi pendirian tidak konsisten oleh kedua-dua individu.

“Datuk Seri Najib secara mutlak menafikan sebarang dakwaan cuba mempengaruhi atau menutup mulut Sirul.

“Malah, beliau menggesa Sirul untuk berani dan mendedahkan apa-apa maklumat yang mungkin ada mengenai dalang yang dikatakan itu, demi kepentingan membongkar kebenaran, ketelusan dan keadilan,” katanya.

Firma itu juga mengambil pendirian Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa Sirul telah diberi peluang untuk membela diri selaras dengan undang-undang dan perlembagaan.

Malah, firma itu menyifatkan dakwaan Sirul dalam wawancaranya baru-baru ini tidak pernah dibangkitkan di mana-mana mahkamah.

“Dalam hal ini, anak guam kami menyatakan bahawa memandangkan Sirul berdepan dengan hukuman mati sepanjang perbicaraannya, dia sepatutnya membangkitkan dakwaannya ke mahkamah jika ada merit, tetapi dia masih belum berbuat demikian,” katanya.

Firma itu turut menjelaskan bahawa kedua-dua Sirul dan Azilah tidak pernah menjadi pengawal peribadi Najib sebaliknya datang daripada kumpulan pengawal peribadi yang digilirkan antara kepimpinan tertinggi dalam Kabinet ketika itu.

Malah, katanya, kedua-duanya ditahan buat kali pertama selepas tiba di lapangan terbang dari United Kingdom selepas mereka menjalankan tugas bersama Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Bagaimanapun, firma itu berkata, Najib meminta kerajaan supaya melibatkan diri dengan pihak berkuasa Australia dengan tujuan untuk memudahkan ekstradisi Sirul ke Malaysia, bagi memastikan penyiasatan menyeluruh terhadap dakwaannya.

“Untuk menyokong ini, Najib mencadangkan bahawa Kerajaan Malaysia mungkin menawarkan jaminan terhadap pelaksanaan hukuman mati untuk memudahkan objektif kebenaran dan keadilan yang lebih luas.

“Walaupun anak guam kami mempertahankan hak undang-undang dalam perkara ini terhadap Sirul, pihak Al-Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau tetap teguh dalam penafiannya terhadap sebarang penglibatan dalam kematian tragis Altantuya Shaaribuu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya