KOTA BHARU: Perubahan cuaca yang tidak menentu ini akibat Monsun Timur Laut (MTL) memaksa pengusaha batik di Kelantan mengehadkan pengeluaran sepanjang musim tengkujuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Muhammad Fadhillah Ibrahim, 26, berkata, disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dia hanya mengeluarkan 1,000 pasang kain batik sebulan sepanjang MTL.
Menurutnya, kebiasaan dia akan mengeluar sebanyak 5,000 setiap bulan bagi memenuhi permintaan para pelanggan.
“Walaupun, mempunyai bangsal untuk menjemur kain batik yang siap diproses selama tiga hari, namun saya tidak ruang mencukupi untuk tujuan itu.
“Jika cuaca panas saya boleh menjemurnya di kawasan lapang berhampiran rumah. Bagaimanapun tidak untuk waktu ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Keladi sini semalam.
Muhammad Fadhillah memberitahu, meskipun berdepan cuaca MTL dia tetap meneruskan kerja-kerja membuat batik yang merupakan sumber utama pendapatan bagi menyara keluarga.
Sementara itu, Abdul Ghafar Mohamad, 36, berkata, disebabkan MTL dia membuat keputusan untuk menangguhkan seketika pekerjaan itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, dia tidak menolak kemungkinan proses menghasilkan batik itu akan beroperasi semula pada awal tahun hadapan.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali musim tengkujuh saya akan ‘berehat’.
“Lagi pun tiada ruang atau bangsal untuk menjemur kain batik yang siap diproses,” katanya yang mengusahakan batik sejak 20 tahun lalu. –UTUSAN










