MITRA terima penarafan risiko rendah dari SPRM

MITRA terima penarafan risiko rendah dari SPRM

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menerima pemakluman rasmi penarafan berisiko ‘rendah’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tahun 2023 dalam pengurusannya yang sebelum ini terpalit dengan isu penyelewengan.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Khas MITRA, Datuk R. Ramanan berkata, pihaknya menerima surat tersebut pada Rabu lalu daripada SPRM.

Beliau menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada SPRM yang memberikan kerjasama dan sentiasa menyokong usaha MITRA menambah baik tatakelola agensi tersebut.

“Setelah saya dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas ini, misi dan fokus utama saya dan pasukan antara lain adalah untuk membersihkan semula imej MITRA.

“Banyak tuduhan dan dakwaan mengenai salah guna dana dan macam-macam sejak beberapa tahun sebelum ini dan inilah hasil usaha kami di MITRA,” katanya.

Pemakluman itu dibuat secara rasmi kepada MITRA melalui satu surat yang ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Datuk Nor Azmi Karim pada 22 November lalu.

Ramanan berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, persepsi masyarakat India terhadap agensi itu juga tidak begitu baik susulan beberapa kes yang telah dibawa ke mahkamah.

“Jadi saya cukup tegas mahu memperkasakan sistem penyampaian MITRA khususnya melibatkan soal integriti dan ketelusan. Status penarafan ini merupakan satu permulaan baik untuk MITRA.

“Saya juga sedang merancang beberapa proses penambahbaikan untuk tahun depan dan yakin akan memberi manfaat kepada masyarakat India. Kita mahu memperkasakan masyarakat India khususnya kumpulan B40,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh itu, perkara itu akan diumumkan beliau sebaik saja perancangannya selesai tidak lama lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, perkembangan positif membabitkan MITRA yang diperoleh pihaknya turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup tegas membabitkan isu tatakelola baik dalam pengurusan sesebuah organisasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN