Mekanik kereta tumpu kepada anak hidap leukemia

Mekanik kereta tumpu kepada anak hidap leukemia

MUHAMMAD Syed Adha ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail ( HSI ) Johor Bahru, Johor.-UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sebelum ini kanak-kanak berusia enam tahun ini aktif bermain bersama adik dan rakan-rakan di luar rumah, namun, setelah disahkan menghidapi penyakit leukemia, pergerakannya semakin berkurang.

Muhammad Syed Adha Syed Ridzuan mula dikesan menghidapi penyakit  tersebut pada bulan Oktober tahun ini sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah ( HSA ) Johor Bahru bagi rawatan awal.

Menurut bapanya, Syed Ridzuan Hussein, 28, anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi  (ICU) di HSA selama empat hari sebelum dirujuk kepada Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan seterusnya.

Katanya, selepas disahkan anaknya mempunyai penyakit leukemia, dia tidak lagi bekerja sebagai mekanik di bandar Pontian sehingga hari ini menyebabkan dia tidak mempunyai sumber pendapatan lagi.

Menurut Syed Ridzuan, menurut doktor, dalam tempoh enam bulan ini, anaknya akan menerima rawatan lanjut di HSI selama seminggu dua kali seterusnya  ditahan ke dalam wad dalam tempoh seminggu.

“Sejak Oktober, saya tiada sumber pendapatan dan simpanan saya tinggal RM100 sahaja dan untuk ke HSI memerlukan RM200 termasuk minyak kereta dan bayaran tertentu,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Parit Keroma, Ayer Baloi, hari ini.

Tambah Syed Ridzuan, masalahnya dirujuk kepada Baitumal Pontian yang memberikan sumbangan sebanyak RM300.00 sekali ‘ one-off’, kerana tiada lagi belanja untuk ke HSI.

“Selain memikirkan kos perbelanjaan Adha, saya juga sedang mencari perbelanjaan bagi isteri, Norhasfarina Dris, 32, yang sedang sarat mengandung lapan bulan ketika ini,” ujarnya lagi.

Katanya, dia cuba untuk berkerja semula bagi mendapatkan pendapatan, namun penyakit anaknya memerlukan perhatian dan jika mempunyai tanda-tanda demam perlu dibawa segera ke HSI.

Menurut Syed Ridzuan, dia juga mempunyai seorang anak perempuan Nur Syifa berusia tiga tahun yang juga memerlukan perbelanjaan selain bayaran rumah sewa sebanyak RM350.00 sebulan.

Setakat ini, pihak majikannya  hanya memberikan sumbangan RM200 sahaja ketika kali pertama dia membawa Syed Ridzuan ke HSA,  selepas itu, tiada lagi pemberian dari pihak majikan.

“Sepuluh tahun saya berkerja sebagai mekanik dengan pendapatan  RM1,600 sebulan yang menjadi sumber pendapatan utama kami sekeluarga,” jelasnya yang menggunakan kereta adiknya untuk berulag alik ke HSI.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghubungi Syed Ridzuan Hussein ditalian 011-60553063 dialamat No 10a, Lorong Wajo, Parit Keroma, Ayer Baloi atau akaun Bank Islam ( 01108020267295 ) atas nama Norhasfarina Dris. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN