Malaysia yakin FDI Jepun melebihi RM30 bilion - Anwar

Malaysia yakin FDI Jepun melebihi RM30 bilion – Anwar

ANWAR Ibrahim dan Fumio Kishida ketika mengadakan pertemuan dua mata dan perbincangan dua hala antara Malaysia dan Jepun di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - FOTO PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia yakin jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun boleh melebihi RM30 bilion (AS$6.33 bilion) pada tahun ini dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah satu petanda menggalakkan tentang keyakinan berterusan pelabur negara matahari terbit itu sekali gus mengalu-alukan lebih banyak FDI ke negara ini.

Perkara itu disampaikan ketika perbincangan bersama rakan sejawatnya, Fumio Kishida semasa lawatan Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia hari ini dalam memperbaharui kerjasama pelbagai bidang termasuk perindustrian pembangunan, kapasiti bangunan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran budaya serta sains dan teknologi.

“Pada tahun lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk memartabatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategi Komprehensif (CSP). Dalam hal ini, kami komited untuk memuktamadkan butiran perkongsian baharu ini.

“Saya yakin hubungan kerjasama ini akan membawa hubungan ke tahap lebih tinggi (demi kemajuan kedua-dua negara),” katanya ketika menyampaikan kenyataan bersama Malaysia dan Jepun di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua mata dan mengadakan perbincangan dua hala antara delegasi Malaysia dan Jepun, seterusnya menandatangani Memorandum Kerjasama dalam Bidang Informasi dan Komunikasi antara Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

MOC berkenaan ditandatangani antara Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Hiroshi Yoshida dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa melibatkan kerjasama komprehensif dalam sektor penyiaran serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memudahkan pertukaran maklumat, polisi dan peraturan.

Dalam sektor ICT pula, ia meliputi pelbagai bidang termasuk teknologi 5G, keselamatan siber dan Ekonomi Digital.

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai komitmen berterusan Kerajaan Jepun ke arah penubuhan cawagan kampus Universiti Tsukuba di Malaysia sekali gus membolehkan lebih ramai pelajar Malaysia mendapat akses sistem pendidikan berkualiti tinggi Jepun.

Selain itu, beliau turut membangkitkan hasrat Malaysia untuk melihat satu lagi penubuhan universiti terkemuka di Jepun, iaitu Universiti Waseda, yang banyak melahirkan tokoh-tokoh di negara ini, termasuk Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

“Saya sebutkan kepada Kishida, satu lagi universiti yang telah melahirkan golongan intelektual seperti Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz, dan alumni lain dari universiti tersebut, iaitu Universiti Waseda. Saya telah meminta sokongan Kishida supaya kita mengadakan kerjasama istimewa dengan Universiti Waseda,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia dan Jepun komited untuk menjalankan usaha menyahkarbon dan mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebagai rakan kongsi negara bagi Pelepasan Sifar Asia Komuniti (AZEC).

Selain itu, Perdana Menteri berkata, memandangkan gas asli cecair (LNG) adalah eksport utama Malaysia ke Jepun pada tahun lalu iaitu merangkumi 31 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara, Malaysia memainkan peranan penting dalam ketahanan rantaian bekalan untuk keselamatan tenaga Jepun.

“Mengenai Kerjasama Pertahanan dan Keselamatan, Malaysia dan Jepun menegaskan komitmen berterusan dalam memelihara keamanan serantau dan keselamatan. Ini akan melibatkan penerokaan baharu kerjasama dalam industri pertahanan,” katanya.

Selain itu, Anwar turut menzahirkan pandangan kepada Kishida untuk mengambil kira pandangan, cadangan dan kebimbangan Malaysia dan negara rantau lain berhubung kesan pembebasan air terawat daripada Stesen Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi.

Bagaimanapun, katanya, Jepun memberi jaminan bahawa pelepasan air terawat itu adalah selamat dan mengambil kira risiko kesan radiologi kepada manusia dan alam sekitar selaras dengan laporan laporan penuh Lembaga Pengelola Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) .

Sementara itu, Kishida berkata, Jepun menyahut baik inisiatif dan kerjasama dengan Malaysia, khususnya dalam tiga bidang utama iaitu kerjasama keselamatan dan pertahanan, ekonomi serta hubungan ASEAN.

Tambahnya lagi, beliau gembira melihat hubungan strategik antara Jepun dan Malaysia terus mengukuh dan berharap beberapa perkara yang dibincangkan, dapat dimuktamadkan menjelang pertemuan kedua mereka sewaktu Persahabatan dan Kerjasama Jepun-ASEAN di Tokyo, pertengahan Disember ini.

Ini merupakan lawatan sulung Kishida ke Malaysia sejak pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober 2021 sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara.

Memandangkan Jepun sentiasa memainkan peranan pentingnya sebagai rakan dialog ASEAN, lawatan ini mempunyai kepentingan istimewa kerana ia bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

Selama lapan tahun berturut-turut sejak tahun 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, nilai dagangan dengan Jepun berjumlah RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) yang merangkumi 6.4 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Sehingga Jun lalu, sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya