TOKYO: Kerajaan Jepun meluluskan perbelanjaan sebanyak AS$3 bilion (RM12 bilion) pada Selasa untuk membantu isi rumah membayar bil elektrik dan gas ketika kos utiliti meningkat akibat perang di Asia Barat.
Seperti banyak ekonomi Asia lain, Jepun bergantung kuat kepada import bahan api dari Asia Tengah dan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kesan sekatan di Selat Hormuz terhadap bekalan dan harga.
Keputusan untuk menampung bil selama tiga bulan bermula Julai itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri, Sanae Takaichi mengumumkan rancangan menyediakan bajet tambahan AS$19 bilion (RM75 bilion) bagi menangani kenaikan harga barangan harian.
“Kami meluluskan perbelanjaan dalam mesyuarat Kabinet hari ini,” kata Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Masanao Ozaki kepada wartawan pada Selasa.
Subsidi itu diambil daripada rizab dalam bajet tahun fiskal semasa.
Ozaki berkata, bil elektrik dan gas tidak dijangka meningkat secara ketara bulan ini atau bulan depan, namun kenaikan harga import bahan api akan memberi kesan selepas itu.
“Walaupun keadaan di Asia Barat masih tidak menentu, kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan tiada gangguan kepada kehidupan harian rakyat atau aktiviti ekonomi,” katanya.
Pada Isnin, Takaichi berkata kerajaan menjangkakan bekalan minyak yang stabil dapat dikekalkan sehingga musim bunga tahun depan. – AFP










