Makanan mewah, murah punca Hatyai jadi pilihan

Makanan mewah, murah punca Hatyai jadi pilihan

SEKUMPULAN pengunjung yang bercuti selama empat hari tiga malam di Hatyai tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai jenis makanan yang ditawarkan dengan harga berpatutan di Hatyai, Thailand, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATYAI, THAILAND: Hatyai menjadi pilihan rakyat Malaysia pada masa kini untuk bercuti antaranya disebabkan destinasi pelancongan itu menawarkan pelbagai makanan mewah dengan harga berpatutan.

Atas faktor tersebut juga, Hatyai kini menjadi ‘syurga makanan’ buat rakyat Malaysia yang ingin meluangkan masa cuti bersama rakan mahu pun keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pelancong dari Putrajaya, Noriha Hussin, 60, berkata, dia bersama rakannya merancang percutian ke Hatyai sejak enam bulan lalu selepas mengetahui terdapat pelbagai makanan menarik yang ditawarkan di sini dengan harga murah dan berpatutan.

“Hatyai menghidangkan makanan mewah yang menepati cita rasa dengan harga cukup berpatutan sehingga kami menjadi rambang mata untuk membuat pilihan.

“Ini merupakan kunjungan pertama kami ke sini bagi melihat suasana dan tarikan pelancongan menarik yang ditawarkan kepada pelancong,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Hatyai di sini menjadi fenomena baharu apabila lokasi pelancongan utama itu sesak dengan pelancong khususnya dari Malaysia yang mengambil kesempatan cuti panjang bersempena perayaan Deepavali dan hujung minggu untuk berkunjung ke sana.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan bandar Hatyai pada Sabtu dan Ahad mendapati lokasi pelancongan, kedai makan dan hotel sekitar di situ penuh dengan rakyat Malaysia, malah, di jalan-jalan raya penuh dengan bas pelancong.

Malah, seawal pagi, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sesak dengan ribuan pelancong termasuk yang menaiki ratusan bas dan kereta untuk ke Hatyai.

Mengulas lanjut, Noriha berkata, Hatyai merupakan pusat pelancongan yang mudah diterokai oleh pengunjung, malah, terdapat banyak lokasi menarik di sini yang mana jaraknya juga berdekatan antara satu sama lain dengan perjalanan singkat.

Ujarnya, dalam masa sehari, pelancong dapat melawat ke lima hingga enam lokasi menarik untuk dikunjungi sekitar Hatyai.

“Kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan murah membuat pelancong tertarik untuk menerokai lokasi-lokasi tumpuan di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung dari Kedah, Mohd Shauki Mustafa, 39, berkata, peniaga dan ejen pelancongan Thailand yang bersikap ramah dan mahir berbahasa Melayu juga turut memudahkan komunikasi buat rakyat Malaysia yang bercuti ke Hatyai.

Tambahnya, kemudahan pembayaran dalam talian pada kini turut menjadi antara faktor pelancong dari Malaysia semakin memilih untuk bercuti ke negara Gajah Putih itu.

“Pelancongan di Hatyai meliputi segenap usia bermula dari kanak-kanak sehingga ke golongan dewasa, malah, pakej yang ditawarkan juga mempunyai tarikan tersendiri.

“Disebabkan itu ramai rakyat Malaysia tertarik dan ingin mencuba kelainan dengan bercuti ke sini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×