Lelaki cuba bunuh diri sangka ada kanser selepas baca gejala dalam internet - Utusan Malaysia

Lelaki cuba bunuh diri sangka ada kanser selepas baca gejala dalam internet

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUCHAREST: Seorang lelaki Romania bertindak memotong pergelangan tangannya dengan alat pengisar sudut gara-gara percaya dia menghidap kanser kolon dengan hanya membaca tentang simptom penyakit itu dalam talian.

Insiden pelik itu berlaku Sabtu lalu di bandar Botosani.

Lelaki itu dilaporkan tertekan tentang sakit pada bahagian kolon yang dialaminya sejak sekian lama.

Pada hari kejadian, lelaki itu memberitahu pasangannya mahu keluar rumah untuk mendapatkan kayu api tetapi beberapa minit kemudian, isterinya menerima mesej daripada suaminya dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

Wanita itu berlari ke luar rumah dan mendapati suaminya sudah terbaring dengan sebelah pergelangan tangannya hampir terputus.

Wanita itu segera menghubungi ambulans dan sepasukan paramedik tiba dengan cepat untuk menstabilkan keadaan lelaki itu sebelum dia dikejarkan ke Hospital Daerah Mavormati.

Lelaki itu bernasib baik selepas pasukan pembedahan plastik yang dipanggil bertugas pada hari tersebut berjaya menyambung semula tangannya.

Menurut pasukan penyiasat, lelaki itu mengalami kesakitan pada bahagian kolon tetapi mula percaya dia mempunyai kanser kolon selepas membaca tentang simptomnya di internet tanpa membuat sebarang pemeriksaan dengan pakar kesihatan.

Tindakan itu menyebabkan dia mengalami kemurungan yang teruk hingga mahu membunuh diri.

Media Romania melaporkan, lelaki itu semakin pulih dan sudah menerima rawatan serta pemeriksaan lanjut tentang kesakitan pada kolonnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN