Lapan premis terlibat dalam perniagaan perkhidmatan wang haram

Lapan premis terlibat dalam perniagaan perkhidmatan wang haram lebih RM1 juta 

AYOB Khan Mydin Pitchay bercakap dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kuching, Sarawak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sebanyak RM1,039,581 wang tunai dan IDR1,116,000 (mata wang asing Rupiah) dirampas dalam operasi khas terhadap pengendali perkhidmatan wang haram di Sarawak. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan itu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dari lapan premis yang terlibat. 

“Lapan premis tersebut diserbu secara serentak yang melibatkan dua premis di Sibu, dua premis di Selangau dan dua premis di Batu Niah serta masing-masing satu premis di Mukah dan Bekenu.

“Wang tunai yang dirampas daripada operasi bernilai RM1 juta daripada premis-premis yang terlibat dan 17 individu (tempatan) dikenal pasti untuk dipanggil bagi sesi rakaman keterangan,” ujarnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini. 

Tambah Ayob, aktiviti kiriman wang secara haram itu juga melibatkan destinasi ke Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina yang mempraktikkan percampuran (co-mingling) dengan aktiviti perdagangan yang sah. 

“Ciri-ciri pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram berkenaan mendapati mereka mengamalkan percampuran dengan aktiviti perdagangan yang sah.

“Misalnya, perniagaan telekomunikasi dan perniagaan runcit serta beroperasi di kawasan yang mempunyai jumlah pekerja asing yang tinggi,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan pengendali perniagaan-perniagaan perkhidmatan kewangan yang tidak berlesen ini disiasat kerana disyaki menyediakan perkhidmatan kiriman dan pertukaran wang tanpa lesen.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011- (APPW) dan kes ini berkemungkinan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Pihak kita juga akan menjalankan siasatan selari iaitu melihat perkaitan antara pengendali haram berkenaan dengan pelbagai jenayah berat yang lain seperti jenayah terancang termasuklah perjudian haram dan penipuan.

“Ini ekoran peranan pengendali tersebut mungkin didorong sebagai pemudah cara dalam membantu aktiviti-aktiviti haram lain melalui pergerakan dana. 

“Bagi tujuan ini, suatu analisis sedang dilaksanakan ke atas urus niaga tunai serta transaksi kewangan mencurigakan melibatkan 39 akaun bank dengan jumlah dana RM47 juta,” katanya lagi.  

Sebagai rekod, pemindahan wang secara haram keluar negara telah meningkatkan saiz ekonomi bayangan yang dianggarkan sekitar 18 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu anggaran RM275 billion. 

“Antara aktiviti jenayah kewangan yang dikesan menyumbang kepada ekonomi bayangan adalah kesalahan tanda dagangan, pemindahan dana ke luar negara menerusi saluran tidak sah dan gejala rasuah.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk tidak berurusan atau melaksanakan sebarang urus niaga pertukaran mata wang atau kiriman wang dengan mana-mana pengendali perniagaan perkhidmatan atau ejen-ejen yang tidak mempunyai lesen,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya