Langkawi perlu lebih banyak perkhidmatan feri - Sanusi

Langkawi perlu lebih banyak perkhidmatan feri – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Noor (tengah) bergambar bersama pengurusan KFA ketika majlis perasmian Wisma KFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perkhidmatan pengangkutan laut ke Langkawi perlu diperluaskan kepada lebih banyak pihak bagi mewujudkan persaingan sihat antara pemain industri, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pengguna yang mahu ke pulau legenda itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. berkata, persaingan tersebut diyakini mampu mendesak syarikat mahu pun konsortium sedia ada menyediakan perkhidmatan terbaik, dalam usaha menarik penumpang menggunakan perkhidmatan mereka.

Begitu pun katanya, segala keputusan berhubung perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya.

“Saya rasa kalau lebih banyak saingan, lebih baik perkhidmatan. Sepatutnya bukalah kepada pihak lain untuk beri perkhidmatan feri kepada pengunjung yang mahu ke Langkawi.

“Saya percaya tindakan sedemikian akan menyebabkan para pengusaha feri berlumba-lumba memberi khidmat terbaik bagi menarik penumpang. Tak perlu takut dengan konsortium sebaliknya buka saja peluang untuk syarikat lain sediakan khidmat feri.

“Konsortium sediakan perkhidmatan seperti biasa dan persendirian pun masuklah juga. Tetapi konsortium itu pun saya tahu teknik digunakan untuk pastikan pihak lain tak masuk (sediakan perkhidmatan feri ke Langkawi) dan tak bolehlah begitu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Wisma KFA di sini, semalam.

Semalam tular di media sosial mengenai keluhan sebuah syarikat feri di Facebook yang mendakwa dikenakan syarat pelik dalam usaha mereka untuk menyediakan perkhidmatan feri alternatif ke Langkawi.

Keadaan itu dikatakan menjadi sebab mengapa syarikat berkenaan terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat sementara dalam usaha mereka menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, khidmat membawa penumpang ke Langkawi tidak semestinya hanya menggunakan feri dengan pihak berkaitan turut boleh memberi kelulusan kepada perkhidmatan teksi laut (sea taxi) sekiranya perkara itu sesuai dilaksanakan.

“Teksi laut ini jumlah penumpangnya mungkin sedikit tetapi tambangnya mahal. Tetapi kita percaya akan ada orang yang memilih perkhidmatan tersebut berbanding feri termasuklah mereka yang berada dalam keadaan terdesak, terkejut atau tergempar.

“Bagi mereka yang nak cepat, mungkin teksi laut ini boleh jadi pilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN