Kurang mesin jentuai, cuaca jejas pengeluaran padi Tanjong Karang - Utusan Malaysia

Kurang mesin jentuai, cuaca jejas pengeluaran padi Tanjong Karang

Jentuai
ABDUL Razak (topi biru) menunjukkan jentera penuai padi di Parit 3 Ban 3, Sungai Burong, Tanjong Karang, di Kuala Selangor, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kekurangan mesin jentuai dan cuaca menjadi faktor utama pesawah di Tanjong Karang di sini, mengalami kemerosotan hasil pengeluaran padi antara lima hingga 10 peratus musim ini.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Dr. Abdul Razak Khasbullah berkata, dua isu itu diluahkan pesawah ketika lawatan beliau bagi meninjau kerja-kerja penuaian padi di kawasan tersebut.

“Keadaan cuaca tidak menentu terutama hujan dan ribut mengakibatkan banyak pokok padi yang sudah masak tumbang.

“Tambah membimbangkan mereka apabila mesin jentuai tidak cukup hingga berlaku kelewatan pemotongan sekali gus menjejaskan hasil pengeluaran padi,” katanya selepas melawat tanaman padi di Parit 3 Ban 3, Sungai Burong, hari ini.

Jelas beliau, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) memiliki 25 mesin jentuai namun masih tidak mencukupi bagi menampung keluasan kawasan sawah padi kira-kira 5,000 hektar di Tanjong Karang.

“Sebanyak 12 mesin jentuai diguna untuk melaksanakan kerja penuaian padi di Sungai Burong manakala 10 lagi di Sawah Sempadan. Biarpun ada 25 mesin, dengan kapasiti sedia ada tidak mencukupi malah ia perlu diselia dan diselenggara dengan baik bagi mengelak berlaku kerosakan,” ujarnya.

Tambah Abdul Razak, masalah itu bukan saja dihadapi pesawah Tanjong Karang malah kebanyakkan kawasan jelapang padi lain di negara ini.

“Isu mesin jentuai kerap dibangkitkan dan boleh menjejaskan pengeluaran beras negara jika tidak ditangani.

“Justeru, saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memohon tambahan peruntukan bagi membeli mesin baharu di kawasan kritikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya