Krisis benih padi di utara

Krisis benih padi di utara

SEORANG pesawah melihat sawahnya yang sudah siap dibajak tetapi masih belum dapat ditanam dengan padi berikutan kelewatan bekalan benih di Utan Aji, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerja-kerja menanam musim kedua padi di Perlis dan Kedah terganggu apabila kira-kira 90 peratus pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) gagal mendapatkan bekalan benih padi sah (BPS).

Krisis yang disifatkan paling buruk itu menyebabkan hanya sekitar 7.4 peratus daripada 9,171 pesawah MADA di Perlis dan hanya 10.1 peratus pesawah di Kedah dapat memulakan tanaman padi mulai akhir September lalu.

Masalah sama turut berlaku di luar kawasan MADA di negeri ini apabila hanya sekitar 60 peratus daripada 6.789 pesawah sudah memulakan tanaman. Ia mengakibatkan jadual penanaman sudah jauh tersasar sekali gus bakal memberi kesan kepada hasil tanaman pada Februari 2024.

Di Kedah, jika mengikut jadual penanaman pada musim ini, sebanyak 33,580 hektar atau 30 peratus kawasan sawah MADA sepatutnya sudah mula ditabur BPS sejak 27 September hingga 11 November ini.

Selain itu, pesawah juga merungut kerana harga benih padi yang semakin tinggi sehingga mencecah RM50 sekampit bagi 20 kilogram turut membebankan golongan berkenaan.

Untuk musim tanaman kali ini, keseluruhan pesawah dalam kawasan MADA di Perlis memerlukan sekitar 115,057 kampit benih padi manakala petani di luar MADA pula memerlukan 28,412 kampit bekalan benih berkenaan membabitkan keluasan kawasan tanaman 28,003 hektar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Razali Saad berkata, masalah kelewatan tersebut menyaksikan hanya sekitar 7.4 peratus pesawah MADA di negeri ini yang mampu memulakan tanaman dengan selebihnya masih ternanti-nanti bekalan benih.

Katanya, sekiranya masalah tersebut terus berlarutan ia bakal menjejaskan pesawah sekali gus turut memberi kesan kepada hasil pengeluaran padi apabila pesawah tidak sempat mengikut jadual penanaman ditetapkan yang bermula berfasa sejak September lalu.

“Krisis benih padi ini perlu diambil perhatian serius memandangkan pesawah terus dihimpit dengan masalah berulang setiap musim. Sehingga hari ini, masih ramai yang masih tidak boleh memulakan tanaman disebabkan masalah kelewatan tersebut.

“Selain itu, harga benih padi yang ditetapkan sekitar RM40 juga tidak mampu di­ikuti sehingga harga benih padi mencecah lebih RM50 dan pesawah juga tidak ada pilihan di sebalik kesukaran mendapatkan benih ini.

“Kita bimbang jika ma­salah tersebut terus berlarutan bakal menyebabkan pesawah mula bosan dan seterusnya meninggalkan kerja-kerja menanam padi ini,” katanya.

Sementara itu beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kuota benih padi kepada pengilang-pengilang atau mengapungkan sahaja bagi memberi persaingan sihat sekali gus pesawah mempunyai pilihan membeli benih padi.

“Kuota benih padi juga sepatutnya diberikan setiap musim kepada kilang bukan setahun sekali. Sebagai contoh, kuota diberikan 30,000 kampit setahun, mungkin musim pertama sudah habis terjual dan bakal memberi masalah ketiadaan bekalan pada musim kedua,” katanya.

Dalam pada itu seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, sepanjang 40 tahun mengusahakan tanaman padi, krisis bekalan benih musim ini disifatkan paling buruk sehingga menyebabkan dia dan majoriti pesawah masih belum boleh mengusahakan tanaman.

Katanya, benih padi ketika ini tidak ada di pasaran dan jika ada sekali pun harganya mencecah RM55 sehingga RM70 jauh daripada harga ditetap kerajaan iaitu RM45.

“Sepatutnya pertengahan Oktober lalu kami memulakan tanaman namun ketiadaan benih padi menyebabkan kami terpaksa menunggu dan terus menunggu untuk memulakan tanaman.

“Kami juga berdepan risiko jika proses tanaman terus lewat memandangkan bulan Disember sehingga Januari sudah memasuki musim kemarau. Sepatutnya kalau tanam mengikut jadual Januari sudah boleh dituai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN