Cadangan wujud gred tunggal beras putih - Utusan Malaysia

Cadangan wujud gred tunggal beras putih

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan berbincang dengan sekurang-kurangnya tiga lagi kementerian lain sebelum memuktamadkan cadangan oleh Gabungan Pengilang Beras Malaysia bagi mewujudkan satu gred tunggal sahaja untuk beras putih.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tiga kementerian itu ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Mohamad berkata, antara yang akan dibincangkan termasuk isu semasa berkaitan padi serta cadangan untuk menyelaraskan tanaman komoditi itu pada masa akan datang.

“Itu baru cadangan dan memang kita boleh terima atau tolak. Apapun, kita akan bincang dahulu (sebelum membuat keputusan terbaik).

 “Dalam hal ini, kita berusaha untuk menyelesaikan masalah beras (dan padi) dan berharap ia juga akan pulih sepenuhnya, sama seperti isu ayam serta isu telur ayam,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi Kawasan Kepala Batas di Penaga, di sini malam tadi.

Pengerusi Gabungan Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman sebelum ini mencadangkan supaya Seksyen Badan Kawalselia Padi dan Beras di bawah KPKM mewujudkan hanya satu gred tunggal untuk beras putih.

Dengan adanya gred tunggal itu, katanya, beras putih itu juga tidak perlu lagi dilabelkan sebagai Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) seperti sebelum ini.

Tambah Marzukhi, langkah itu penting bagi memastikan tiada sebarang manipulasi berlaku di peringkat pemborong sekali gus membantu mengelakkan pengguna tertipu dengan beras yang dibeli.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad memberitahu, pihaknya kini sudah bersiap sedia menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dibimbangi boleh menjejaskan banyak tanaman.

Ketika ini, katanya, belum ada tanaman khususnya padi yang dilaporkan tenggelam atau rosak akibat banjir memandangkan Monsun Timur Laut masih di peringkat permulaan.

“Dalam hal ini juga, semua jawatankuasa khas di bawah Timbalan Perdana Menteri telah dipanggil mesyuarat sebagai persediaan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

“Pada masa sama, jabatan serta agensi di bawah kementerian yang bertanggungjawab (berkaitan hal ehwal banjir) juga dilaporkan sedang bersiap sedia,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya