Kerajaan pertimbang beri bantuan tunai bulanan - PM

Kerajaan pertimbang beri bantuan tunai bulanan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bantuan tunai khas secara bulanan akan dipertimbangkan kepada isi rumah miskin tegar yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur atau kesihatan.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar.

Menurut beliau, pemberian bantuan itu demi melepasi pendapatan garis kemiskinan (PGK) makanan bagi golongan itu.

Beliau berkata, semua agensi dan kementerian diminta menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan di bawah PGK makanan dalam tahun ini.

“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha dan program-program dalam usaha membasmi miskin tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman dan pemberian modal perniagaan.

Jelasnya, ini termasuk latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan dan usaha-usaha ini telah pun dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belengu miskin tegar.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, perkembangan mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran, terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama dan faktor geopolitik.

Menurut beliau, usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur, termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia.

“Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan.

“Bank Negara Malaysia komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut meneliti dan mendapati bahawa perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar.

Katanya, hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, beliau memberitahu, pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.

“Turut didapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos.

“Ini boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambah baik proses-proses dalam pelaksanaan projek perbelanjaan pembangunan seperti pembentukan pasukan rentas kementerian untuk menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu.

Ini melibatkan Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan jabatan-jabatan berkaitan.

Katanya, antara tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus ketat.

“Keputusan dasar ke arah pemusatan (sentralisasi) pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi atau kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya