KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan masih berhutang RM1 bilion wang royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu bagi tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menjangka anggaran terimaan hasil royalti minyak yang patut diterima bagi tahun 2023 ialah RM1.524 bilion.
“Bagaimanapun, setakat ini yang telah kita terima hanya berjumlah RM510 juta sahaja,” katanya ketika menjawab soalan lisan dari Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Shah mengenai langkah susulan yang diambil kerajaan negeri Terengganu pula, Ahmad Samsuri berkata, beliau telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan pemimpin di peringkat pusat.
“Untuk mendapatkan hasil belum diterima ini, kita telah ambil langkah bertemu dan berbincang. Ini telah dibuktikan sejak Mei 2018 ketika kita mula mengambil alih kerajaan negeri, perbincangan sentiasa membuahkan hasil yang positif.
“Pelbagai pendekatan diambil oleh kerajaan negeri sama ada dari segi pentadbiran pengurusan, bertemu dengan rakan sejawat di kementerian dan saya sendiri bertemu dengan mereka yang boleh buat keputusan.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tetap mahu menggunakan istilah asal iaitu royalti seperti yang digunakan satu ketika dahulu.
“Kerana kalau ikut sejarah penggunaan nama istilah ini, dalam terimaan awal bermula tahun 1978 hingga 1999 istilah yang diguna pakai ialah royalti petroleum.
“Pada 2000 hingga 2003 ia telah ditukar kepada wang ihsan, bagi tempoh 2004 hingga 2018 pula ditukar nama kepada DKKP (Dana Khas Kerajaan Persekutuan) dan bermula 2018 hingga 2021 ditukar nama lagi kepada Bayaran Tunai Petroleum (BTP).
“Pada 2022 hingga sekarang ia ditukar lagi kepada ialah wang ihsan… kerajaan negeri tetap komited mahu guna nama asal iaitu wang petroleum,” katanya. – UTUSAN










