Kawasan ESSCOM catat rekod sifar penculikan, wang tebusan

Parlimen: Kawasan ESSCOM catat rekod sifar penculikan, wang tebusan

SAIFUDDIN Nasution pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. - FOTO/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengekalkan rekod sifar penculikan untuk wang tebusan sejak 2020 hingga kini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia adalah hasil kawalan secara bersepadu oleh pasukan keselamatan menerusi rondaan darat, laut dan udara bertujuan meminimum ancaman berkenaan.

“Ancaman penculikan ada, tetapi rekod sejak 15 Januari 2020 hingga sekarang penculikan untuk tebusan wang itu sifar.

“Ini rekod sangat signifikan. Ini kerana ESSCOM buat rondaan, ada kapal yang dipanggil kapal induk dan rondaan helikopter antara perkara yang melonjakkan prestasi dan meminimumkan ancaman keselamatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee [PN-Beluran] berhubung status terkini ESSCOM dan usaha kerajaan bagi mempertingkat keupayaan aset serta penguatkuasaan dalam mendepani ancaman keselamatan sempadan.

Katanya, sehingga Januari hingga 31 Ogos lalu, ESSCOM berjaya membuat 1.7 juta pemeriksaan fizikal ke atas orang, kenderaan dan bot di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 414 individu ditahan, 139 kenderaan dan bot ditahan dan 191 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian telah melakukan perolehan 60 unit pangsapuri di Lahad Datu, Sabah.

“Aspek kebajikan keluarga anggota juga sangat dititikberatkan bagi membolehkan suasana kerja lebih kondusif.

“Kita juga mengubah daripada perintah berkurung kepada perintah kawalan pergerakan kerana kawasan ESSCOM mempunyai potensi besar dari segi pelancongan dan rekod menyaksikan kedatangan pelancong dari Eropah dan China terutamanya semakin menunjukkan trend meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN