Kuota BUDI95 perlu seimbang keperluan rakyat, kemampuan fiskal negara

Kuota BUDI95 perlu seimbang keperluan rakyat, kemampuan fiskal negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan untuk menaikkan kuota subsidi bahan api BUDI95 melebihi 200 liter sebulan dijangka memberi kesan langsung kepada kedudukan fiskal kerajaan, khususnya dalam keadaan harga minyak global yang kekal tidak menentu.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, peningkatan kuota akan menyebabkan kerajaan menanggung beban subsidi yang lebih besar, manakala pengurangan kuota pula berisiko menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan pengguna.

“Sebarang pelarasan kuota perlu mengambil kira keseimbangan antara keperluan rakyat dan kemampuan fiskal negara. Kerajaan perlu memastikan bantuan yang diberikan mencukupi tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negara dalam jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, penggunaan kad pengenalan sebagai mekanisme pengesahan kelayakan membantu mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

“Bagaimanapun, masih terdapat risiko sesetengah individu yang layak tidak dapat menikmati manfaat secara optimum disebabkan kekangan akses atau corak penggunaan bahan api yang berbeza,” katanya.

Mohd. Rizal menjelaskan, subsidi bersasar seperti BUDI95 secara umumnya lebih cekap berbanding subsidi pukal kerana ia membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasaran sambil mengurangkan ketirisan kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima manfaat.

“Dalam jangka panjang, pendekatan subsidi bersasar berpotensi membantu menstabilkan inflasi dengan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan. Namun, harga barangan dan kos sara hidup masih dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain termasuk kos tenaga serta rantaian bekalan,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa kuota subsidi bahan api di bawah program BUDI95 kekal pada 200 liter sebulan susulan kesilapan teknikal yang memaparkan had lebih rendah kepada sebahagian pengguna.

Dalam kenyataan pada Isnin, kementerian memaklumkan terdapat pengguna yang melihat paparan kuota bulanan sebanyak 150 liter ketika kerja penyelenggaraan sistem BUDI95 dijalankan pada pukul 11 malam, 31 Mei lalu.

Menurut kementerian, paparan tersebut berpunca daripada ralat teknikal yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, kuota BUDI95 tidak bersifat kekal dan boleh disemak semula mengikut perkembangan semasa termasuk harga minyak global, kedudukan fiskal negara dan keperluan ekonomi.

“Kuota ini perlu dilihat sebagai satu mekanisme yang dinamik, bukannya angka tetap. Kerajaan perlu mengimbangi keperluan membantu rakyat, mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan kewangan negara kekal mampan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya harga minyak global meningkat atau tekanan fiskal bertambah, kerajaan mungkin perlu mengetatkan subsidi. Namun, jika keadaan ekonomi bertambah baik, ruang untuk melonggarkan kuota dan memperluaskan bantuan kepada rakyat tetap wujud.

Barjoyai berkata, kuota 200 liter sebulan dianggarkan bersamaan kira-kira 2,000 kilometer perjalanan bagi sebuah kenderaan penumpang biasa.

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan melindungi majoriti pengguna sambil mengehadkan subsidi kepada golongan yang menggunakan bahan api pada kadar jauh lebih tinggi daripada purata,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa secara teori fiskal, kerajaan berpotensi menjimatkan lebih banyak perbelanjaan sekiranya kuota diturunkan kerana penggunaan sebenar kebanyakan rakyat adalah lebih rendah daripada had yang ditetapkan.

Namun, katanya, langkah sedemikian berisiko memberi tekanan kepada golongan M40 bawahan dan penduduk luar bandar yang memerlukan fleksibiliti penggunaan bahan api bagi menghadapi keperluan perjalanan yang tidak menentu.

“Oleh sebab itu, kuota 200 liter bukan sekadar berdasarkan purata penggunaan, sebaliknya berfungsi sebagai siling keselamatan untuk mengelakkan kejutan kos kepada isi rumah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN