PETALING JAYA: Pelaksanaan hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan berpotensi memberi impak besar terhadap kedudukan fiskal negara, bergantung kepada jumlah bayaran yang dipersetujui serta mekanisme pelaksanaannya.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sekiranya pembayaran tersebut melibatkan jumlah berbilion ringgit setahun, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan komitmen kewangan tambahan yang boleh mengecilkan ruang fiskal untuk perbelanjaan pembangunan dan operasi lain.
“Selain itu, langkah tersebut berpotensi meningkatkan defisit fiskal sekiranya tidak disertai sumber hasil baharu atau penstrukturan semula perbelanjaan sedia ada.
“Keadaan ini boleh menyebabkan kerajaan meningkatkan pinjaman atau menyusun semula keutamaan perbelanjaan bagi mengekalkan kedudukan kewangan negara.
“Pada masa sama, komitmen fiskal tambahan berkenaan turut dijangka memberi tekanan kepada usaha kerajaan mengurangkan nisbah hutang serta mencapai sasaran konsolidasi fiskal dalam jangka sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan jumlah geran khas interim untuk negeri Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Difahamkan, jumlah geran tersebut ditentukan sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Anwar juga menjelaskan bahawa keputusan itu hanyalah bersifat interim kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar tuntutan perlu dimuktamadkan melalui rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Abu Sofian berkata, dari sudut hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pula, pelaksanaan hak tersebut berkemungkinan mendorong negeri-negeri lain menuntut semakan semula formula pemberian dan perkongsian hasil.
Katanya, ia sekali gus memerlukan satu kerangka fiskal antara kerajaan yang lebih jelas, telus dan mampan.
“Bagi Sabah, pelaksanaan hak berkenaan dijangka meningkatkan hasil negeri dengan ketara, sekali gus membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta kemudahan asas seperti bekalan air.
“Langkah itu juga berpotensi memperkukuh autonomi fiskal negeri apabila Sabah mempunyai lebih banyak sumber kewangan untuk menentukan keutamaan pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada geran Kerajaan Persekutuan.
“Peningkatan hasil tersebut turut dijangka membantu mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan yang lebih selaras dengan keperluan tempatan, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“Bagaimanapun, jumlah hasil yang lebih besar memerlukan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan kewangan yang lebih kukuh bagi memastikan dana awam digunakan secara berkesan dan memberi pulangan optimum kepada rakyat,” ujarnya.
Mengulas dari perspektif ekonomi negara, beliau berkata, pelaksanaan hak 40 peratus itu berpotensi membantu mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, selain merangsang aktiviti ekonomi menerusi peningkatan pelaburan serta permintaan domestik di negeri berkenaan.
“Namun, dalam jangka pendek, kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berdepan tekanan yang mungkin memerlukan langkah penyesuaian seperti reformasi percukaian, rasionalisasi subsidi atau penjimatan perbelanjaan bagi memastikan disiplin fiskal terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










