AS cabul lagi gencatan senjata - Utusan Malaysia

AS cabul lagi gencatan senjata

PESAWAT pejuang F/A-18E Super Hornet tentera melakukan pendaratan di dek penerbangan kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kementerian Luar Iran berkata pada Isnin bahawa Amerika Syarikat (AS) terus melanggar gencatan senjata, selepas serangan AS  ke atas sebuah pelabuhan di selatan negara itu sehingga mencetuskan ketegangan ketenteraan yang singkat.

“Amerika juga melanggar gencatan senjata, termasuk pada pagi ini (semalam),” kata jurucakap kementerian itu, Esmaeil Baqaei, dalam sidang media mingguannya.

Beliau turut menyatakan bahawa Iran akan mengambil apa sahaja langkah yang dianggap perlu untuk mempertahankan keselamatan negara Iran.

Kenyataan tersebut dibuat ketika pertukaran serangan antara Iran dan AS terus berlaku walaupun kedua-dua pihak secara rasmi masih terikat dengan gencatan senjata yang dimeterai pada April lalu melalui usaha pengantaraan Pakistan selepas Iran diserang pada 28 Februari.

Pertukaran serangan terbaharu antara kedua-dua pihak berlaku selepas rundingan untuk menamatkan perang yang berlarutan selama beberapa bulan gagal mencapai kemajuan sepanjang hujung minggu.

BERBALAS SERANGAN

AS mengumumkan menyerang beberapa lokasi ketenteraan Iran sepanjang hujung minggu lalu, manakala Teheran pula mendakwa bertindak balas dengan menyasarkan sebuah pangkalan tentera Amerika.

Ia menandakan peningkatan ketegangan yang diketahui buat kali ketiga dalam tempoh seminggu di sekitar Selat Hormuz.

Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, ia melancarkan serangan ‘mempertahankan diri’ sebagai tindak balas terhadap tindakan ‘agresif’ Iran, termasuk tindakan menembak jatuh sebuah dron Amerika di perairan antarabangsa.

“Tentera AS melancarkan ‘serangan mempertahankan diri terhadap terhadap tapak radar Iran, pusat kawalan dan arahan dron pada Sabtu serta Ahad di bandar Goruk, berhampiran pantai selatan Iran, selain di pulau Qeshm yang terletak di Selat Hormuz. 

“Pesawat pejuang AS bertindak pantas dengan memusnahkan sistem pertahanan udara Iran, sebuah stesen kawalan darat dan dua dron serangan sehala yang menimbulkan ancaman jelas terhadap kapal-kapal yang melalui perairan serantau,” kata CENTCOM.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula berkata, pihaknya menyasarkan sebuah pangkalan udara yang digunakan tentera AS di Kuwait namun tidak menyatakan lokasi pangkalan itu. 

DRON

Menurut seorang pegawai Washington, serangan terbaharu AS itu menyasarkan dron Iran dan sebuah tapak pelancarannya di sekitar Selat Hormuz.

Sementara itu, Kuwait yang menjadi tuan rumah kepada sebuah pangkalan tentera AS memaklumkan sistem pertahanan udaranya sedang berdepan serangan peluru berpandu dan dron musuh serta menuduh Iran sebagai bertanggungjawab.

Agensi berita KUNA melaporkan siren amaran serangan udara dibunyikan di seluruh negara itu yang merupakan sekutu AS.

Teheran menyasarkan sebuah pangkalan udara di Kuwait minggu lalu sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS sebelum ini, yang menurutnya dilakukan untuk menghalang bot-bot Iran dan serangan peluru berpandu daripada meletakkan periuk api di sekitar laluan perkapalan.

TAK HIRAU TEKANAN

Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau tidak tergesa-gesa mencapai sebarang perjanjian dan memberi amaran usaha Iran untuk memberi tekanan politik terhadapnya tidak akan berjaya kerana beliau ‘tidak peduli’ tentang keputusan pilihan raya pertengahan penggal di negaranya. 

Rumah Putih pula menolak laporan media kerajaan Iran yang mendakwa memorandum persefahaman yang sedang dirunding akan menyaksikan sekatan AS ke atas pelabuhan Iran ditarik balik sebagai pertukaran kepada pembukaan semula selat berkenaan.

Trump turut menggesa pengkritiknya supaya ‘bertenang’ menerusi satu hantaran di Truth Social miliknya awal Isnin dengan berkata, keadaan itu akan berakhir dengan baik. Beliau mendakwa Iran benar-benar mahu mencapai perjanjian dan ia akan menjadi perjanjian yang baik untuk AS.

Media AS melaporkan Trump meminta perubahan terhadap syarat perjanjian itu.

Lapor CBS News, perubahan itu dikaitkan dengan laluan perkapalan Selat Hormuz dan penyingkiran uranium diperkaya tahap tinggi. Rumah Putih bagaimanapun tidak memberikan maklum balas untuk mendapatkan komen.

NUKLEAR

Ketua Perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata pada Ahad, Teheran tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian selagi hak Iran tidak dijamin sepenuhnya.

Menurutnya, Iran bukan mencari konsesi dalam rundingan dengan Washington, sebaliknya menuntut haknya dipenuhi termasuk pembebasan aset yang dibekukan di luar negara susulan sekatan AS.

Beliau berkata, butiran mengenai program nuklear Iran, isu utama yang menjadi pertikaian dengan Washington masih belum dibincangkan.

‘Tiada rundingan mengenai perincian fail nuklear. Pada tahap ini, keutamaan kami ialah menamatkan perang,” katanya.

Baqaei berkata, pertukaran mesej dengan AS masih diteruskan, namun belum mencapai kesimpulan muktamad.

‘Kami akan menentukan urusan bagi pemeteraian perjanjian pada masa yang sesuai,” katanya.

Kementerian Luar Iran pada Isnin turut menyatakan gencatan senjata di Lubnan kekal sebagai syarat utama bagi sebarang perjanjian dengan Washington.

“Kami menegaskan bahawa gencatan senjata di Lubnan adalah syarat penting bagi sebarang perjanjian yang bertujuan menamatkan perang,” kata Baqaei, dalam sidang media mingguan ketika Israel memperluaskan serangannya di Lubnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN