Harga minyak mentah dunia mampu cecah AS$150 setong

Harga minyak mentah dunia mampu cecah AS$150 setong

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah Brent dijangka mampu mencecah AS$150 (RM594.82) setong sekiranya sekatan di Selat Hormuz berlarutan atau konflik ketenteraan susulan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat (AS) dan Iran meningkat.

Ia akan terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi pasaran minyak global sepanjang Jun hingga Julai 2026.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bagi tempoh itu kebanyakan institusi kewangan antarabangsa menjangkakan harga minyak Brent akan bergerak dalam lingkungan AS$90 (RM356.89) hingga AS$110 (RM436.20) setong sekiranya situasi di Selat Hormuz kembali stabil secara berperingkat.

Menurutnya, dalam senario asas, harga minyak dijangka berada dalam julat AS$89 (RM352.92) hingga AS$106 (RM420.34) setong sebelum beransur sederhana menjelang suku keempat tahun ini.

“Bagaimanapun, sekiranya sekatan di Selat Hormuz berlarutan atau konflik ketenteraan meningkat, harga minyak berpotensi melonjak melepasi AS$110 (RM436.20) setong dan boleh mencecah AS$150 (RM594.82) setong.

“Setakat akhir Mei 2026, kontrak hadapan minyak Brent bagi Julai didagangkan sekitar AS$92 (RM364.82) setong selepas susut hampir 17 peratus sepanjang bulan berikutan jangkaan kemajuan rundingan diplomatik.

“Namun, pasaran kekal berhati-hati kerana aliran trafik kapal di kawasan berkenaan masih belum kembali normal sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, harga minyak meningkat lebih daripada dua peratus selepas Iran dan AS berbalas serangan dan Israel mengarahkan tentera untuk bergerak lebih jauh ke Lubnan dalam pertempuran dengan kumpulan militan Hizbullah yang disokong Tehran.

Niaga hadapan minyak mentah AS meningkat 3.25 peratus kepada AS$90.20 (RM357.91) setong pada pukul 3.30 petang semalam, manakala niaga hadapan Brent meningkat 2.66 peratus kepada AS$93.78 (RM372.12) setong.

Beliau berkata, tindakan Presiden AS, Donald Trump yang memberi kata dua kepada Iran untuk membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam telah meningkatkan ketidakpastian pasaran.

“Ia sekali gus menyebabkan harga minyak mentah dunia bergerak secara tidak menentu.

“Kenyataan Trump yang pada satu masa memberi bayangan rundingan hampir mencapai penyelesaian menyebabkan harga minyak Brent susut sehingga AS$15 (RM59.48) setong kepada sekitar AS$99 setong, namun kembali meningkat melebihi AS$103 (RM408.44) setong apabila beliau memberi amaran sekatan boleh berterusan.

“Keadaan itu menjadikan pergerakan pasaran minyak lebih dipengaruhi sentimen dan perkembangan geopolitik berbanding faktor asas penawaran dan permintaan,” katanya.

Mengulas mengenai kesan kepada negara ini, beliau berkata, walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak, ekonomi domestik masih terdedah kepada gangguan bekalan global memandangkan sebahagian keperluan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) bergantung kepada laluan perdagangan antarabangsa.

“Peningkatan risiko geopolitik turut menyebabkan premium insurans kapal melonjak, manakala sebahagian syarikat perkapalan memilih laluan alternatif yang lebih jauh sehingga meningkatkan kos logistik dan pengangkutan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa konflik berpanjangan di Selat Hormuz boleh mencetuskan kejutan bekalan global memandangkan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia melalui laluan tersebut.

“Sekiranya gangguan berterusan, bekalan global boleh berkurangan antara 7.5 juta hingga 9.1 juta tong sehari sekali gus mendorong harga minyak meningkat mendadak.

“Kenaikan harga tenaga berpotensi meningkatkan tekanan inflasi global dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia apabila kos operasi industri, pengangkutan dan penerbangan meningkat.

“Selain itu, harga makanan dijangka turut terkesan berikutan peningkatan kos baja dan logistik, sekali gus memberi tekanan kepada negara pengimport makanan termasuk Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN