PONTIAN: Penduduk di Jalan Kempas, Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas yang merupakan kawasan yang sering dilanda banjir melahirkan kekecewaan terhadap usaha mengatasi isu itu yang masih berterusan.
Mereka hanya berharap supaya banjir tidak berlaku lagi kerana sudah penat berpindah dan mengemas rumah setiap tahun, namun, usaha mengatasi nya masih gagal dilaksanakan.
Seorang penduduk, Ramin Kassim, 71, berkata, mereka sekeluarga sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk berpindah apabila hujan lebat melebihi dua atau tiga jam dan sejak berpindah ke kampung tersebut pada 1986, lebih 70 kali terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir.
“Kami tidak marah, tetapi kecewa dengan usaha untuk membantu lapan keluarga di Jalan Kempas untuk ‘keluar’ daripada masalah banjir yang melanda pada setiap tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Ramin berkata, ketika berlaku banjir, pelbagai cadangan dan pandangan diutarakan oleh pelbagai pihak, namun, seolah-olah terhenti selepas banjir mula reda termasuk lawatan kerja oleh Menteri Besar Johor.
“Masalah banjir di Seri Gambut ini dikatakan berpunca daripada terdapat banyaknya pasir di hulu Sungai Pontian Besar menyebabkan berlakunya limpahan air ke darat ketika hujan lebat. Mengapa tiada tindakan untuk mengorek dan membersihkan sungai tersebut,” katanya.
Sumar Yati Zainal Abidin, 59, memberitahu, penduduk hanya mampu berdoa supaya banjir tidak melanda kawasan tersebut pada tahun ini.
Kini mereka mula menyimpan pinggan mangkuk, pakaian dan lain-lain barangan ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan rosak atau dihanyutkan banjir.
Menurut Sumar Yati, kejadian banjir terburuk pada tahun 2001 apabila berlaku fenomena kepala air di Gunung Pulai yang menyebabkan mereka juga menerima kesannya.
“Ketika itu, air antara lima hingga tujuh kaki menyebabkan kami terpaksa berada di PPS selama 10 hari kerana air lambat surut,” katanya.
Miskiah Kundari, 60, berkata, rumahnya sebelum ini pernah ditenggelami air melebihi paras tingkap menyebabkan mereka empat beranak terpaksa berpindah ke PPS dengan bantuan pasukan penyelamat.
“Apabila tiba November ini, kami sekeluarga telah bersiap sedia untuk menghadapi banjir dengan barangan diletakkan di tempat tinggi serta dokumen penting dikumpulkan,” katanya. –UTUSAN










