VANCOUVER: Kegagalan memanfaatkan peluang di depan gawang menjadi punca Colombia tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas 3-4 menerusi penentuan penalti kepada Switzerland pada pusingan 16 terbaik.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan sebelum Switzerland muncul pemenang dalam penentuan sepakan penalti.
Pengendali Colombia, Nestor Lorenzo mengakui anak buahnya sudah melakukan segala-galanya untuk meraih kemenangan dalam aksi yang disifatkannya cukup seimbang dan penuh taktikal.
“Apa yang kami gagal lakukan, tanpa sebarang keraguan, ialah menjaringkan gol. Kami tahu perlawanan ini akan berlangsung dengan sangat ketat, penuh taktikal dan seimbang.
“Namun, saya percaya kami lebih layak menang dalam tempoh 90 minit berdasarkan niat menyerang dan jumlah percubaan yang kami hasilkan,” katanya.
Menurut Lorenzo, rentak permainan semakin perlahan apabila kedua-dua pasukan mula keletihan sebelum perlawanan berlanjutan ke penentuan penalti.
Beliau turut mempertahankan keputusannya mengeluarkan pemain tengah, Jhon Arias, yang dibuat kerana faktor keletihan serta bagi mengelakkan pemain itu dilayangkan kad kuning kedua yang boleh menyebabkan dia terlepas aksi suku akhir jika Colombia mara.
Lorenzo turut mengeluarkan penyerang, Luis Suarez, pada penghujung perlawanan selepas pemain itu menerima kad kuning pada babak kedua.
“Kami bimbang satu lagi terjahan lewat akan menyebabkan kami kehilangan seorang pemain. Faktor tenaga juga memainkan peranan.
“Kami menghasilkan 15 percubaan. Itu jumlah yang banyak, tetapi jika gagal menjaringkan gol, anda akan dihukum. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Ada kalanya bola masuk dan ada kalanya tidak,” katanya.- AGENSI










