Enam hasil penyelidikan UKM bernilai RM130,000 dilesen kepada industri

Enam hasil penyelidikan UKM bernilai RM130,000 dilesen kepada industri

SUFIAN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam hasil penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilesenkan kepada rakan industri melalui perjanjian pelesenan bernilai keseluruhan RM130,000.

Enam hasil penyelidikan itu ialah KEJORA Refreshing Anti-Aging Eye Cream (KEJORA), Magic Box Tiny Fingers, SIFIRA, Konsep Rekaan Corak RATUKU, Praktis Korea dan Aplikasi Media Patuh Syariah atau Islamic Creative Media Apps.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen universiti dalam menyokong pengkomersialan penyelidikan supaya dapat diterjemahkan kepada teknologi dan produk yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat.

Katanya, kepelbagaian inovasi yang diketengahkan itu turut menunjukkan hasil penyelidikan UKM merangkumi pelbagai disiplin termasuk kesihatan, pendidikan dan warisan budaya.

“Pengkomersialan teknologi merentas pelbagai disiplin ini diharap dapat menguatkan kerjasama antara universiti dan industri, meningkatkan daya saing ekonomi berasaskan pengetahuan serta menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM), Prof. Dr. Sawal Hamid Md. Ali berkata, UKM sedang berusaha memastikan setiap inovasi penyelidik tidak terhenti di peringkat makmal semata-mata.

Beliau berkata, hasil penyelidikan itu perlu diterjemahkan kepada produk yang boleh dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh pasaran.

Katanya, INOVASI@UKM turut menyediakan dana pemindahan teknologi bagi membantu penyelidik membawa inovasi dari peringkat awal ke tahap yang bersedia untuk dipasarkan.

“Dana ini menyokong pembangunan teknologi daripada Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 4 kepada TRL 7 dan memerlukan kerjasama dengan syarikat kolaborator bagi memastikan proses pembangunan memenuhi keperluan industri,” katanya.

Sawal berkata, proses membawa sesuatu hasil penyelidikan ke pasaran bukan perkara mudah kerana sering wujud jurang antara penyelidikan dengan keperluan pasaran.

Katanya, dalam sesetengah keadaan, penyelidikan yang dihasilkan tidak menepati kehendak industri menyebabkan ia hanya berakhir sebagai penerbitan akademik tanpa berjaya dikomersialkan.

“Apabila hampir sampai ke peringkat pengkomersialan, ada syarikat yang tidak berminat kerana melihat produk tersebut tidak mempunyai potensi pasaran atau kos pembangunan yang terlalu tinggi.

“Justeru, penglibatan yang lebih serius dan berterusan antara pihak industri dengan akademik amat penting bagi merapatkan jurang ini,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran dua produk inovasi iaitu KEJORA dan Magic Box Tiny Fingers, yang masing-masing dilesenkan kepada Bumi Lensa Resources dan Tateh Sakinah Ventures Sdn. Bhd.

Sawal berkata, KEJORA merupakan produk kosmeseutikal inovatif berasaskan campuran minyak Sacha Inchi dan minyak kelapa dara yang berfungsi melindungi kulit di sekeliling mata daripada sinaran UVB dan cahaya biru.

Katanya, Magic Box Tiny Fingers pula ialah inovasi pendidikan awal kanak-kanak berasaskan psikologi perkembangan dan kognitif bagi menangani ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN