Doakan Abby Abadi diberi ketenangan hati, lebih baik jaga diri sendiri - Raja Azura - Utusan Malaysia

Doakan Abby Abadi diberi ketenangan hati, lebih baik jaga diri sendiri – Raja Azura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Raja Azura, 53,mendoakan agar sahabat selebritinya, Abby Abadi, diberikan ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian membabitkan keluarganya.

Raja Azura berkata, dia tidak memihak kepada mana-mana individu dalam isu berkenaan, sebaliknya melihat situasi tersebut daripada sudut pandang seorang ibu yang perlu menjaga emosi, kesihatan mental dan ketenangan diri ketika berdepan dugaan.

“Saya tidak berada di pihak mana-mana. Dalam situasi sebagai seorang ibu, sebenarnya apa pun yang terjadi, jangan ambil hati dan jangan menyimpan perasaan.

“Sebab apa yang paling penting adalah kita menjaga diri, hati dan mentaliti kita. Itu yang sangat penting bagi saya.

“Saya  ambil contoh daripada pengalaman diri sendiri, apa yang berlaku dalam kehidupan saya, kalau terlalu difikirkan memang boleh menyebabkan kita menjadi sangat gelabah, tertekan dan sakit.

“Tetapi saya tidak pernah menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang menyakitkan. Seperti yang saya katakan, baik dan buruk yang kita hadapi,  kedua-duanya kita terima,” katanya.

Raha Azura berkata demikian ketika ditemui pada majlis Astro Fandom di ibu negara, semalam.

Selain itu, Raja Azura berkata, seseorang individu perlu memilih sama ada mahu terus memikirkan pandangan orang lain atau memberikan perhatian kepada diri sendiri serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

“Baik dan buruk itu datang daripada Allah SWT. Jadi, kita sendiri yang menentukan bagaimana mahu meletakkan diri dalam sesuatu keadaan. Kita mahu terus memikirkan orang lain atau menjaga diri sendiri?

“Kita yang perlu membawa diri dan akhirnya kita juga akan pergi seorang diri. Jadi, lebih baik kita menjaga diri, memperbanyakkan ibadah dan menenangkan jiwa dengan amalan-amalan yang sepatutnya.

“Dekatkan diri dengan orang yang positif dan jaga kerohanian kita. Bagi saya, dalam hidup ini saya tidak sempat hendak tertekan kerana baik atau buruk, semuanya saya terima,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Azura mendoakan agar Abby diberikan ketenangan jiwa dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT selain berharap hubungan keluarga sahabatnya itu kembali pulih.

“Insya-Allah, saya doakan mudah-mudahan Abby diberikan ketenangan dalam dirinya dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT. Insya-Allah, dia akan berdamai dengan keluarga.

“Saya tengok keluarganya  juga, Masya-Allah, semuanya dididik dengan baik. Dia mendidik anak-anaknya dengan baik dan bekas suaminya Norman Hakim juga mendidik anak-anak dengan baik.

“Sebelum ini saya pernah melihat bagaimana keluarga itu bersatu dan sebagainya. Insya-Allah, akan ada jalan,” katanya.

Baru-baru ini, anggota kumpulan Elite itu menjadi perhatian ramai selepas berkongsi hantaran ucapan selamat hari jadi ke-21 buat anak perempuannya juga pempengaruh sensasi, Marissa Dania Hakim.

Tidak hanya itu, Abby turut difahamkan tidak hadir ke acara majlis sambutan hari jadi Marissa yang diraikannya meriah bersama bapa, Norman Hakim, 50 dan ibu tiri, Memey Suhaiza.

Justeru, dikatakan bermula dari situ hubungan Abby dan Marissa kembali menjadi perhatian ramai selepas penyanyi juga anggota kumpulan Elite terbabit didapati memuatnaik beberapa hantaran luahannya dipercayai berkait rapat dengan kemelut keluarga.

Marissa adalah anak kedua Abby bersama bekas suami, Norman selain dua lagi cahaya mata mereka iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, dan Maria Danisha Hakim, 18.

Pasangan selebriti, Norman dan Abby pernah bernikah pada 2002, namun bercerai pada 2009. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN