Jangan tuding jari isu tarikh luput vaksin – Dr. Dzulkefly

Jangan tuding jari isu tarikh luput vaksin – Dr. Dzulkefly

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan tidak wajar dipersalahkan berhubung isu vaksin bernilai RM505 juta tamat tarikh luput tanpa memahami dan meneliti isu tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembeli­an vaksin Covid-19 ketika itu adalah berdasarkan keperluan negara dan dibeli berdasarkan kepada data yang diberikan.

“Isu utamanya ialah selepas pembelian, ada tempoh waktu di mana tiada apa-apa promosi vaksin dijalankan secara meluas.

“lni menjadi antara faktor utama kegagalan pengambilan dos penggalak dan juga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK KIDS) yang merekodkan jumlah pengambilan vaksin yang agak rendah,” katanya ketika dihubungi.

Tambahan itu, menurut Dr. Dzulkefly, Pharmaniaga menanggung kerugian sebanyak RM552 juta akibat tidak boleh menjual vaksin yang dibeli secara berlebihan, sementara pihak KKM membuat tempahan dan mendapat penghantaran seperti dijanjikan pihak Pfizers.

Akibat daripada kegagalan menjual stok vaksin tersebut kepada pihak swasta, akhirnya Pharmaniaga menanggung kerugian sebanyak RM664 juta, sekali gus meletakkan syarikat yang berkaitan de­ngan pekerjaan itu dalam masalah membayar hutang atau dalam kelompok PN-17.

“Walaupun akan ada menganggap bahawa syarat adalah ditentukan oleh syarikat pembekal, sebagai kementerian dan juga Kerajaan Persekutuan, perlu rundingkan terma dan syarat perolehan buat negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, walaupun sudah hampir setahun kerajaan bertukar tangan, masih lagi tidak nampak pembentangan Kertas Putih.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu untuk memberi gambaran secara komprehensif mengenai pe­ngurusan perolehan vaksin Covid-19.

“Sampai sekarang, kami masih tak tahu berapa harga vaksin kerana tidak dibentangkan di Parlimen.

“Sepatutnya, selepas beberapa bulan digunakan kajian terperinci perlu dilakukan untuk menentukan tahap keberkesanan vaksin itu tersebut dan sepatutnya kerajaan lebih terbuka untuk mendengar kesan-kesan sampingan dan perlu memasukkan ke dalam data,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×