Isu banjir Dengkil bakal selesai 4 tahun lagi

Isu banjir Dengkil bakal selesai 4 tahun lagi

NIK Nazmi Nik Ahmad melawat Rumah Pam Kampung Sri Tanjung, Dengkil, Selangor. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengumumkan peruntukan berjumlah RM725.7 juta bagi melaksanakan dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah ini.

Projek itu dijangka dapat menyelesaikan isu banjir di kawasan Pekan Dengkil sehingga ke Labohan Dagang yang kerap berlaku di kawasan itu sejak akhir-akhir ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dianggarkan seramai 120,000 penduduk dapat dilindungi dari impak bencana banjir menerusi pelaksanaan Projek RTB Sungai Langat Fasa 1 dan Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 itu.

“Pada masa ini, Projek RTB Sungai Langat Fasa 1 sedang di dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027 manakala, Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 pula dijangka bermula pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

“Kedua-dua projek itu dilaksanakan di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) dalam rancangan jangka panjang NRECC menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ,” katanya ketika ditemui selepas melawat Rumah Pam Kampung Sri Tanjung dan meninjau rumah penduduk yang terkesan akibat banjir di sini, pagi tadi.

Katanya, bagi tindakan jangka pendek pula, kekerapan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan tersebut ditingkatkan oleh pihak berkaitan.

Nik Nazmi berkata, JPS juga mengingatkan kepada pemaju supaya mematuhi semua kelulusan pembangunan yang melibatkan komponen Manual Saliran Mesra Alam (MSMA).

Menurutnya, kejadian banjir yang berlaku di Jalan Utama Taman Warisan Suria dan Persimpangan FT29/ FT32 sejak 5 November lalu adalah berpunca daripada
jumlah air kelodak dari kawasan pembangunan dan akhirnya berlaku limpahan dari Sungai Kelinsing.

“Kejadian banjir baru-baru ini melibatkan Kampung Sungai Buah, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Cemperai, Kampung Seri Tanjung, Taman Delima, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Persimpangan FT29/ FT32 dan kuarters Penternakan Ayamas Sdn Bhd di Jalan Utama Taman Warisan Suria.

“Dianggarkan sebanyak 148 buah rumah terjejas dan seramai 395 penduduk dipindahkan ke pusat perpindahan sementara akibat banjir berkedalaman 0.2 hingga 0.5 meter,” katanya.

NIK Nazmi Nik Ahmad melawat Rumah Pam Kampung Sri Tanjung, Dengkil, Selangor. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

Dalam pada itu, katanya, projek menaik taraf ban Sungai Parit Tampoi bernilai RM9 juta akan disiapkan di bawah projek RTB melalui peruntukan Kerajaan Negeri Selangor dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 Jun 2025.

Selain itu, katanya, faktor sistem saliran dalaman yang tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak diselenggara juga turut menyumbang kepada berlakunya banjir di kawasan terbabit.

“Sebagai tindakan segera bagi mengurangkan impak kepada penduduk, JPS Selangor menempatkan dua unit pam bergerak di Kg Seri Tanjung dan Taman Delima bagi mengepam air keluar dari kawasan banjir.

“Manakala kerja-kerja segera pembaikan ban pecah dilaksanakan serta-merta oleh kontraktor di bawah projek RTB tersebut,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya