Ibu 'gantung' pisau toreh, jaga anak lumpuh

Ibu ‘gantung’ pisau toreh, jaga anak lumpuh

GAMBAR Norhaniza Arifin (kiri) bersama Nur Adawiyah sebelum kemalangan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seorang ibu dari Kampung Pasir Kelang, di sini memilih untuk ‘menggantung’ pisau toreh bagi menjaga anak perempuannya yang hilang upaya menguruskan diri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norhaniza Arifin, 44, berkata, sejak kejadian itu dia tidak dapat keluar menoreh sekali gus menjejaskan ‘kantung’ kewangan keluarga.

Menurutnya, setiap bulan dia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM2,000 untuk Nur Adawiyah Awang Noh, 15, meliputi lampin pakai buang dan susu berkeperluan khas yang berharga RM120 setin.

“Setin susu ini hanya mampu bertahan selama tiga hari. Hal ini kerana ia merupakan makanan ‘ruji’ Nur Adawiyah.

“Selain itu, saya perlu menyara tiga lagi adiknya yang masih bersekolah. Walaupun mendapat bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia masih belum mencukupi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Norhaniza memberitahu, setiap bulan dia perlu membawa Nur Adawiyah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan.

Katanya, lebih memeritkan lagi apabila dia perlu menyediakan wang tunai berjumlah RM650 untuk menyewa ambulans bagi membawa anaknya itu ke Hospital USM disebabkan oleh jarak perjalanan yang jauh selain perlu menaiki feri untuk menyeberang Sungai Kelantan.

Mengimbas semula kejadian itu, Norhaniza berkata, semasa kejadian Nur Adawiyah yang menaiki motosikal bersama rakannya untuk membeli kelengkapan persekolahan penggal baharu telah terlibat dalam kemalangan.

Katanya, motosikal yang dinaiki Nur Adawiyah dan rakannya telah dilanggar motosikal lain.

“Anak ketiga saya kritikal dan koma. Selepas itu dia hilang upaya untuk bergerak,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 153029151579 Norhaniza Arifin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN