KITA semua akui data itu emas yang dinamik dan amat bernilai. Data telah melepasi minyak sebagai komoditi paling berharga di dunia dengan menjana ekonomi melebihi AS$11.6 trillion berbanding AS$3.1 trillion saiz ekonomi yang dijana oleh komoditi minyak pada 2019.
Dunia ekonomi digital mempunyai dinamik dan driver yang berbeza daripada dunia ekonomi fizikal. Secara mudahnya boleh digambarkan ekonomi digital dijana daripada keupayaan eksploitasi data secara dinamik dan meresapi ke dalam pelbagai bentuk jentera aktiviti ekonomi yang menjadi sumber utama kepada pembentukan data baharu dan berupaya menjana pengetahuan, penyelesaian, keputusan. Malah, ia berputar menjadi satu bentuk kitaran yang sangat dinamik dan dalam proses kitaran ini, terjelma menjana nilai baharu selain daripada keuntungan, pendapatan dan mencipta kemakmuran (wealth creation). Kesan ekonomi daripada keupayaan eksploitasi data ini amat besar potensi dan kesannya kepada kemakmuran negara masa kini dan akan datang.
Sejak 30 tahun lalu, kerajaan melabur jumlah wang yang sangat besar untuk memastikan infrastruktur dan pengetahuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) meluas capaiannya. Namun, ICT sebelum ini memfokuskan kepada sudut kepenggunaannya dalam kerangka konsep disebut sebagai system of records selain sebagai peralatan asas kepada teknologi automasi. Ekonomi digital adalah era di mana nilai dibentuk daripada keupayaan eksploitasi data dan penciptaan data secara besar-besaran melalui kerangka konsep disebut sebagai system of engagement.
Kunci utama kepada data yang sangat dinamik sifatnya adalah nilainya akan berganda apabila diadunkan dengan kreativiti dan inovasi. Ia terletak kepada teknologi teras yang menjadi kerangka utama mengawal, mentadbir dan mengurus perjalanan ekosistem data, juga disebut sebagai infrastruktur data. Kepakaran dalam membangunkan teknologi infrastruktur data ini tidaklah sesukar yang memerlukan kepakaran roket saintis. Dalam erti kata lain, ramai pakar tempatan berupaya untuk digemblengkan bagi negara mempunyai keupayaan mentadbir dan mengurus teknologi yang sangat strategik dan amat kritikal ini secara homegrown dan mengelakkan diri daripada perangkap kebergantungan kepada pihak asing.
Sekarang dilihat pihak pemain teknologi data raksasa asing begitu ghairah menerokai peluang untuk bertapak di luar dari domain tradisi mereka. Kita perlu berhati-hati dan memahami kesan strategik jangka panjang dalam bermain dengan teknologi data ini. Sebenarnya kita tidak perlu turut ghairah dan mengambil kredit di atas minat mereka untuk bertapak di tempat kita. Secara konsepnya mereka hanya datang secara besar-besaran membangunkan gudang penyimpanan dan pengurusan data. Adalah diharap kita tidak turut serta menjadi pelanggan kepada gudang-gudang simpanan data raksasa ini untuk menyimpan segala ‘emas-emas’ kita kerana ia akan memerangkap kita dalam apa disebut sebagai ‘Hotel California’ (lagu) (lirik – You can check out any time you like, but you can never leave).
Sebenarnya penguasaan teknologi teras ini sangat genting dan kritikal apabila berurusan dengan teknologi data kerana kunci kepada dinamika eksploitasi data tersebut terletak duduk kepada pemilikan secara total, bukan hanya mempunyai akses kepadanya. Situasi ini cukup terasa semasa era pandemik baru-baru ini, malah contoh terbaik adalah situasi berkaitan penggunaan aplikasi MySejahtera. Yang akhirnya dapat dilihat betapa kebergantungan itu menjadikan situasi kerajaan begitu sukar, malah kosnya juga sentiasa menjadi duri dalam daging yang menyakitkan.
BIG DATA
Maklum balas daripada pakar-pakar tempatan yang melihat negara tiada hala tuju yang jelas memperkukuhkan kedaulatan digital dengan mempunyai strategi untuk stimulate local empowerment khusus dalam menguasai teknologi teras.
Mengambil contoh China yang telah mengorak langkah mengatur strategi menyokong dan melindungi pembangunan kemahiran teknologi teras ini dan berjaya menandingi negara-negara maju lain.
Negara kita juga harus begitu. Melihat kepada perlunya eksploitasi secara optimum data-data dalam bidang keselamatan, pertahanan, perisikan, kesihatan dan lain-lain yang kritikal, adakah kita terpaksa bergantung kepada perisian asing dan menyimpan dalam gudang data asing juga?
Jika dilihat keperluan eksploitasi data dalam pelaksanaan ICT yang strategik dan mempunyai implikasi keselamatan seperti pertahanan, keselamatan dan penjanaan data ekonomi, negara amat kritikal sebenarnya untuk memiliki keupayaan teknologi teras. Sehingga kini, apa yang dilihat, kita banyak memberi penekanan kepada menggalakkan pembangunan industri aplikasi hiliran dan persekitaran kepenggunaan sahaja.
Pada peringkat awal ini, kami berpandangan kerajaan harus mempunyai strategi yang betul secara jangka panjang dan jangka pendek dalam memastikan ia mempunyai cukup produk teknologi teras ini dan cukup tenaga pakar tempatan dalam bidang teknologi teras teknologi data, mempunyai program khusus menggalakkan kepakaran tempatan dengan menyediakan projek-projek khusus untuk pemain big data tempatan terokai.
Kerajaan harus mempunyai perancangan pembangunan produk teknologi teras yang akan menjadi asas kepada infrastruktur data negara dan kemudian sokongan/dukungan harus diberikan agar ia dapat berkembang dan mampu menyaingi keupayaan produk asing. Mewujudkan hala tuju dan dasar serta mempunyai strategi untuk melihat pemain tempatan dapat berdiri sama tinggi dengan pemain asing seperti apa dilakukan oleh kerajaan China suatu ketika sebelum ini.
Selain itu, kemahiran eksploitasi data ini perlu dimasyarakatkan (democratise) secara strategik agar ia mampu menjadi satu bentuk jentera perekonomian yang baharu kepada negara. Percayalah, faktor geopolitik adalah sangat kritikal untuk kita utamakan kedaulatan digital. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati kedaulatan digital.










