Harga ayam dijangka kekal

Harga ayam dijangka kekal

SEBAHAGIAN daripada peniaga ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan ke­rajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini diramal tidak akan menyebabkan harga meningkat dengan mendadak.

Ini kerana bekalan ayam semasa adalah stabil dan keputusan mengapungkan harga ayam akan membolehkan kumpulan penternak bersaing dan berinovasi untuk memastikan harga ayam tidak terlalu mahal tetapi mereka tetap dapat keuntungan maksimum.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengerusi Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Idrus Zainal Abidin berkata, pengapungan harga ayam itu tetap perlu dilaksanakan bagi mengawal ketirisan subsidi yang dihadapi sekarang.

“Pengapungan harga ayam ini perlu dibebaskan, biarkan harganya balik kepada asal. Tidak perlu risau dengan kenaikan harga ayam, sebab semua akan bergantung kepada pasaran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus pula berkata, krisis ketiadaan bekalan ayam sebelum ini berpunca daripada pene­tapan harga siling.

Menurut beliau, penetapan harga itu menyebabkan banyak penternak tidak dapat meraih keuntungan ekoran kenaikan harga operasi sehingga memaksa mereka ‘gulung tikar’ lalu memberi kesan pada pasaran.

“Sekarang ini saya percaya apabila tiadanya harga siling, saya yakin tidak ada isu dengan bekalan ayam. Sebab sebelum ni disebabkan keuntungan diperoleh sangat sedikit, ada penternak kecil-kecilan terpaksa tutup ladang.

“Jadi apabila tiada lagi kawalan harga tersebut, saya percaya tidak timbul isu me­ngenai bekalan bahan makanan utama tersebut. Ini kebaikan daripada keputusan kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, kerajaan mengam­bil keputusan itu kerana ia dilihat selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.

Namun, subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C tetap diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Bagaimanapun, Dr. Zulkifli berkata, wujud kebimbangan sekiranya harga ayam naik dengan mendadak lalu memberi kesan kepada pengguna susulan harga bagi bahan makanan tersebut tidak lagi dikawal oleh kerajaan.

“Sebab sekarang harga input sudah kurang iaitu harga kacang soya sudah mula turun jadi saya percaya harga tidak akan naik dengan mendadak tetapi sekiranya berlaku oleh kerana kos pengeluaran me­ningkat, saya cadang kita beri bantuan bersasar pada pengguna.

“Iaitu lebih satu harga yang mungkin nanti kerajaan boleh tentukan, kerajaan boleh beri bantuan bersasar tersebut contohnya pada kumpulan B40,” katanya.

Sementara itu, Felo Perun­ding, Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, UPM, Prof. Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, keputusan tersebut akan memboleh­kan kumpulan penternak bersaing dan berinovasi untuk memastikan harga ayam tidak terlalu mahal tetapi mereka tetap mendapat keuntungan maksimum.

“Ini akan menggalakkan industri ayam negara kita berkembang dengan lebih maju, malah akan membantu jumlah pengusaha-pengusaha kecil semakin ramai lalu membantu industri tersebut menjadi lebih dinamik,” katanya.

Dr. Fatimah berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu bertindak pro­aktif dengan memastikan tiada pihak yang mengambil ke­sempatan terhadap keputusan tersebut dengan menaikkan harga dengan terlalu mendadak.

Katanya, kerajaan juga perlu merancakkan platform rangkaian bekalan digital bagi memastikan pemain-pemain utama dalam sekuriti makanan negara dapat berkembang dan meneroka perkara baharu.

“Kita boleh hasilkan sebuah aplikasi atau web untuk mereka, jadi sudah pasti mereka seronok kerana ada pasaran baharu untuk mereka jual hasil pengeluaran mereka. Jangan beri pada pihak ketiga kerana keuntungan untuk golongan petani dan penternak ni akan berkurangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, ramai juga yang menyatakan kebimba­ngan langkah kerajaan itu akan menyebabkan kenaikan harga ayam di pasaran.

Peniaga ayam di Kuala Terengganu, Abdul Rashid Abdullah pula berkata, kebanyakan peniaga telah dimaklumkan oleh pemborong mengenai kemungkinan berlaku kenaikan harga ayam segar bermula 1 November ini.

“Saya difahamkan harga ayam dijangka meningkat sehingga RM2 sekilogram selepas ini berikutan keputusan menamatkan subsidi ayam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN