PETALING JAYA: Kerajaan perlu merangka mekanisme yang mampu memastikan pelancong yang masuk ke dalam negara keluar pada tarikh atau masa ditetapkan.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, dalam kerajaan memanfaatkan kemasukan pelancong daripada segi sumbangan kepakaran dan pendapatan negara, insiden tinggal lebih masa perlu dielakkan.
Kata beliau, mekanisme itu adalah bagi memastikan tidak pihak yang mengambil kesempatan daripada keputusan kerajaan itu.
“Dengan pengumuman kemasukan pelancong tanpa memerlukan visa, kerajaan boleh merancakkan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana program itu dilihat berkesan. Daripada situ, kita boleh cuba memanfaatkan kepakaran-kepakaran mereka yang tertentu.
“Antara kepakaran yang kita boleh manfaatkan daripada pelancong-pelancong ini adalah seperti dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang sudah diakui menjadi kepakaran mereka daripada India.
“Tetapi kita perlu ada satu kawalan yang lebih rapi untuk memastikan pelancong yang melawat Malaysia nanti akan balik ke negara asal mereka. Contohnya, sekarang ini dikatakan ada dua juta warga China yang masuk tetapi tidak keluar daripada Malaysia.
“Ini merupakan satu kelemahan dalam sistem imigresen negara kita, jadi ia perlu kita tangani dan perbaiki untuk mengelakkan perkara sama terus terjadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Malaysia mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan dalam hubungan dengan negara jiran dan beberapa negara Asia lain termasuk mengecualikan visa bagi pelawat dari China dan India.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelawat dari China dan India dikecualikan visa 30 hari selain dari Turkiye serta Jordan mulai 1 Disember ini.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan tapisan keselamatan teliti akan dilakukan agar tiada kebocoran kemasukan melibatkan penjenayah dan pengganas.
Sementara itu, Dr. Barjoyai berkata, sektor pelancongan negara perlu bersedia menerima pelancong premium yang berbelanja lebih semasa melancong supaya negara memperoleh lebih banyak pendapatan susulan kemasukan mereka.
“Secara purata pelancong hanya berbelanja tidak sampai RM4,000 bagi seorang. Ini kerana kebanyakan pelancong daripada negara jiran seperti Singapura dan Indonesia ataupun China.
“Tetapi mungkin pada masa akan datang, lebih banyak pelancong daripada negara-negara lain. Lebih banyak pelancong dan lebih lama mereka duduk di dalam negara kita, lebih banyak mereka akan berbelanja, lebih banyak juga pendapatan akan diraih.
“Untuk ini produk-produk pelancongan kita perlu mempunyai nilai tambah iaitu contohnya andai kata kita bawah masuk pelancong ke dalam sungai dan hutan ataupun mana-mana yang aktiviti lasak, pastikan pelancong berbelanja banyak seperti mana di Afrika Selatan, untuk pelancong melawat Safari, mereka perlu beberlanja beribu untuk satu trip perjalanan,” jelasnya. – UTUSAN










