Guna bengkel kimpalan sebagai stor simpan diesel seleweng - Utusan Malaysia

Guna bengkel kimpalan sebagai stor simpan diesel seleweng

DUA anggota KPDN Pulau Pinang memeriksa diesel yang disimpan di sebuah bengkel kimpalan yang dijadikan stor untuk menyimpan barang kawalan itu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PERMATANG PAUH: Dua lelaki termasuk seorang pemandu lori ditahan bersama 28,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM60,200 dalam serbuan di sebuah bengkel kimpalan, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan ketika sedang memindahkan minyak tersebut daripada tangki simpanan ke dalam sebuah lori tangki.

S. JEGAN (kanan) bersama seorang anggota KPDN Pulau Pinang memeriksa sebuah bengkel kimpalan yang dijadikan stor atau tempat menyimpan diesel seleweng di Permatang Pauh, Pulau Pinang, hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Terdahulu, kata beliau, pihaknya telah melakukan intipan hasil daripada maklumat yang diterima berhubung kegiatan berkenaan.

Jegan berkata, pemeriksaan kemudian mendapati, premis itu tidak mempunyai lesen untuk menjual barang kawalan selain permit untuk menyimpan barangan terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita percaya modus operandi yang digunakan dalam kes ini ialah menjadikan sebuah bengkel kimpalan sebagai sebuah stor untuk menyimpan diesel yang dibeli di sekitar stesen minyak di sini sebelum diedarkan kepada pemain industri.

“Selain itu, siasatan mendapati diesel-diesel ini turut dihantar ke stor berlesen sekali gus menyukarkan KPDN untuk mengambil tindakan.

“Buat masa ini, kita masih menyiasat kes ini secara lebih mendalam termasuk kemungkinan diesel ini turut diedar ke negara jiran juga walaupun agak sukar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Jegan, secara keseluruhannya, nilai sitaan dalam serbuan itu termasuk sebuah lori dan tiga hos motor pam dianggarkan berjumlah RM119,900.

“Ini kali kedua serbuan dilakukan di sini selepas serbuan pertama dibuat pada Ogos lalu.

“Ternyata pemilik bengkel ini masih belum serik meskipun pernah diserbu sebelum ini,” katanya yang memberitahu, kedua-dua lelaki yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 50-an. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya