GTSM seru pemandu teksi carum SKSPS, elak disaman RM10,000 - Utusan Malaysia

GTSM seru pemandu teksi carum SKSPS, elak disaman RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) menyeru semua pekerja yang berkhidmat dalam sektor pengangkutan dan perkhidmatan mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Yang Dipertuanya, Kamarudin Hussain berkata, ia bagi memastikan mereka tidak dikenakan saman oleh Perkeso sehingga RM10,000 akibat daripada kegagalan mendaftar dalam caruman tersebut.

Menurutnya, semua pemandu teksi perlu memanfaatkan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan, di mana mereka hanya perlu membayar RM46.60 untuk tempoh satu tahun bermula dari tarikh caruman bagi pelan 2.

“Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Perkeso sebenarnya mempunyai punca kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kepada orang ramai khususnya ahli-ahli kami yang masih gagal mendaftar dan mencarum di agensi tersebut.

“SKSPS akan memberi perlindungan sosial kepada diri kita sendiri dan bakal memberi manfaat kepada waris kita sekitanya berlaku sebarang musibah ke atas diri kita.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berkhidmat di dalam sektor pengangkutan dan perkhidmatan kita seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberi inisiatif dalam proses mengurangkan bayaran caruman kita sebanyak 80 peratus dan pada tahun hadapan sebanyak 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata demikian susulan beberapa ahli GTSM hampir disaman oleh Perkeso sebanyak RM10,000 selepas ditahan di dalam sekatan jalan raya di sekitar Seremban, Negeri Sembilan kerana kegagalan mencarum dalam SKSPS.

Namun beliau berkata, GTSM berterima kasih kepada Perkeso kerana memberi kesedaran kepada pekerja dalam industri tersebut terhadap SKSPS dan hanya memberi notis amaran.

“Setelah kami meneliti Notis Amaran yang dikeluarkan Perkeso dan Peruntukan Akta sedia ada, kami dari GTSM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi tersebut kerana sudi turun padang dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dalam sekatan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang bekerja sendiri khususnya dalam sektor perkhidmatan awam teksi dan sebagainya.

“Kami memuji sifat kemanusiaan dan insani yang ditunjukkan oleh pihak Perkeso kepada ahli-ahli kami, walau pun mereka boleh mendakwa ahli-ahli di mahkamah tetapi mereka memilih menyantuni dan memberi kesedaran kepada ahli-ahli kami dengan hanya memberi Notis Amaran.

“Kita ambil contoh kesalahan trafik atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sudah pasti ahli-ahli telah dikenakan tindakan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya