KLUANG: Penduduk Kampung Sri Lukut di Kahang di sini hidup dalam kebimbangan selepas perkampungan mereka dikunjungi 10 ekor gajah liar sejak kebelakangan ini.
Ketua Kampung Sri Lukut, Yusuf Ibrahim berkata, secara dasarnya penduduk kampung tidak lagi merasa pelik dengan kehadiran gajah liar ini kerana ia berlaku sejak lebih 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, kehadiran haiwan tersebut hampir setiap malam sejak awal minggu ini adalah luar biasa dan amat membimbangkan kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk apatah lagi kumpulan gajah liar ini lebih berani mendekati kediaman.
“Sebelum ini, memang ada kemasukan gajah liar, namun, hanya mengganggu tanaman seperti kelapa sawit, pokok getah dan pisang yang ditanam di pinggir kampung.
“Namun, kali ini agak berlainan apabila binatang ini turut menumbangkan beberapa batang pokok durian dan pokok nangka yang buahnya hanya menunggu masa untuk masak dan gugur selain pagar serta tanaman di pinggir rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Yusuf lagi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang sudah dimaklumkan dan mereka hanya melakukan pemantauan serta menghalau binatang itu ke dalam hutan berhampiran kampung.
Sementara itu, penduduk kampung, Osman Manap, 45, berkata, anggaran kerugian adalah ribuan ringgit terpaksa ditanggung penduduk apabila banyak pokok tanaman yang rosak akibat gangguan gajah liar pada kali ini.
Ujarnya, penduduk hanya mampu mendiamkan diri di dalam rumah masing-masing apabila ternampak kumpulan gajah liar ini berkeliaran berhampiran rumah selain membiarkannya meratah apa sahaja tanaman yang ditanam di luar rumah.
“Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Apabila dibuat provokasi, ia akan menyebabkan keselamatan kami dalam bahaya,” ujarnya. –UTUSAN










