PADANG TERAP: Fenomena Hatyai sejak kebelakangan ini menjadikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung di sini pilihan ramai sekali gus memberi limpahan rezeki kepada penduduk daerah ini.
Menurut Pegawai Daerah Padang Tetap, Azmin Zainol Abidin, selain itu Durian Burung turut menjadi alternatif kepada mereka yang ingin ke pantai timur bagi mengelakkan kesesakan di Gerik, Perak.
“Durian Burung tidak lagi sunyi kerana kita lihat pada masa tertentu terutama musim perayaan, ICQS ini sesak. Mungkin kerana ramai yang ingin melarikan diri daripada kesesakan di Bukit Kayu Hitam dan Gerik.
“Kita melihat perkara ini sebagai satu kelebihan kepada penduduk Padang Terap yang juga mempunyai tempat pelancongan yang menarik seperti Tasik Pedu, Puncak Janing, Jeram Tok Din, Gunung Kerengga dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui hadir pada program Perlawanan Sukan Persahabatan Sempadan Padang Terap – Na Thawi di IKBN Kampung Pakra, Naka di sini hari ini yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Na Thawi Chertpong Jaitrong.
Azmin menambah, selain itu pihaknya juga akan menggubnakan platform tersebut yang bersifat dua hala untuk mempopularkan daerah ini kepada pelancong Thailand.
“Program ini merupakan acara tahunan tahun lepas Na Thawi jadi tuan rumah, tahun ini giliran kita. Sememangnya dalam menjayakan program ini kita selitkan juga agenda mempromosikan tempat menarik di Padang Terap ini.
“Sebanyak 170 peserta menyertai program sukan ini termasuk dari Pejabat Daerah Na Thawi dengan empat jenis sukan termasuk bola sepak, sepak takraw, tarik tali dan chair ball. Kita percaya apabila hubungan kedua-dua daerah ini erat, masing-masing memperoleh kebaikannya,” katanya. -UTUSAN










