PETALING JAYA: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya disenaraikan sebagai finalis dalam empat kategori utama bagi ICA Compliance Awards APAC 2026 yang dianjurkan oleh International Compliance Association (ICA), United Kingdom.
Daripada 10 kategori yang dipertandingkan di peringkat Asia Pasifik, penyertaan sulung SPRM dalam anugerah berprestij itu membuahkan pengiktirafan apabila organisasi tersebut tersenarai sebagai finalis bagi empat kategori.
Ketua Cawangan C, Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Shukri Mohd Said, dicalonkan dalam kategori Compliance Leader of the Year manakala Mohammad Nazree Mansor pula disenaraikan dalam kategori Rising Star Award.

Selain pencalonan individu, SPRM turut menjadi finalis bagi dua kategori organisasi iaitu Compliance Team of the Yeardan Small Compliance Team of the Year (Less Than Seven Team Members).
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, pencalonan SPRM sebagai finalis dalam empat kategori tersebut merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan dan mencerminkan komitmen berterusan warga SPRM dalam memperkukuh integriti, pematuhan, tadbir urus serta pencegahan rasuah.
“Tahniah kepada semua pegawai yang terlibat dan berharap pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan SPRM untuk mencapai kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa
“Lebih membanggakan, dua pencalonan organisasi yang diterima adalah hasil inisiatif dan pencapaian Cawangan Siasatan C, termasuk pelaksanaan projek khas yang diterajui Mohd Shukri bersama pasukannya,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata, pencalonan itu merupakan satu penghormatan besar kepada SPRM dan membuktikan komitmen berterusan warga Suruhanjaya dalam memperkasakan integriti, pematuhan serta tadbir urus yang baik.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama SPRM di persada antarabangsa, malah menjadi bukti kepada dedikasi dan profesionalisme seluruh warga kerja dalam mendukung agenda antirasuah negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohammad Nazree pula menyifatkan pencalonannya bagi kategori Rising Star Award sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna dalam perjalanan kerjayanya.
“Pencalonan tersebut menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kompetensi profesional dan menyumbang secara lebih signifikan dalam usaha memperkukuh integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam,” ujarnya.
Dalam kenyataan kepada semua finalis, Presiden ICA, Pekka Dare, menzahirkan penghargaan kepada organisasi dan individu yang mengambil bahagian serta menegaskan bahawa para finalis mewakili amalan terbaik industri pematuhan dan pencegahan jenayah kewangan di peringkat global.
Penerima anugerah ICA Compliance Awards APAC 2026 dijadual diumumkan pada majlis penyampaian anugerah yang akan berlangsung secara dalam talian pada 21 Julai depan.
Untuk rekod, ICA Compliance Awards APAC merupakan program pengiktirafan profesional yang menghargai pencapaian cemerlang, inovasi, kerjasama dan amalan terbaik dalam bidang pematuhan, integriti, tadbir urus serta pencegahan jenayah kewangan di rantau Asia Pasifik.
Program itu menghimpunkan organisasi, pasukan dan individu yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard pematuhan dan integriti di peringkat global.
Sejak ditubuhkan pada 2001, ICA telah membantu meningkatkan tahap profesionalisme lebih 160,000 pengamal di seluruh dunia menerusi pelbagai program latihan dan kelayakan profesional yang diiktiraf antarabangsa. – UTUSAN










