PETALING JAYA: Penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Bandar Sunway disini pada Selasa lalu disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak susulan kecederaan serius dialaminya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan teruk akibat kecederaan pada tubuhnya.
Katanya, siasatan turut menemukan senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut dan kini dijadikan bahan bukti bagi membantu siasatan.
“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemukan. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan tempoh sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya polis juga belum menerima sebarang pengesahan mengenai dakwaan suspek mempunyai masalah kesihatan mental dan perkara itu masih dalam siasatan.
Sementara itu, mayat mangsa sedang dalam proses untuk dituntut ahli keluarga yang telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali serta mempunyai hubungan istimewa.
Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi melibatkan emosi, perasaan dan perbelanjaan harian.
Sebelum ini, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.03 pagi sebelum menemukan mangsa berusia lingkungan 20-an dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan pada badan.
Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an turut ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN










