SEPANG: Komitmen luar biasa ditunjukkan barisan petugas serta pengisian rohani yang berkualiti menjadi penanda aras utama kepada perkhidmatan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) sehingga meraih pujian daripada jemaah haji musim ini.
Bagi seorang pengurus kanan di sebuah syarikat tenaga, Noorwian Abdul Ghani, 51, sikap profesional yang ditunjukkan oleh barisan petugas agensi berkenaan telah membantu memastikan kelancaran sepanjang 45 hari dia bersama suami, Hamka Ali, 52, berada di Tanah Suci.
Noorwian yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu berkata, kesiapsiagaan petugas membantu jemaah tanpa mengira masa memberikan keselesaan dan ketenangan emosi kepada mereka sepanjang menunaikan ibadah haji.
“Petugas dilihat sangat komited. Biarpun berdepan jadual padat dan ada kalanya terdapat kekurangan kecil, kecekapan mereka menguruskan jemaah membuatkan kami rasa sentiasa terbela,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Noorwian merupakan salah seorang daripada jemaah haji Andalusia kumpulan kedua dan terakhir bagi penerbangan KT079B dari Madinah yang melibatkan seramai 118 jemaah termasuk dua petugas.
Mengulas lanjut, Noorwian berkata, selain aspek kebajikan, dia turut memuji pengisian siri bimbingan sejarah Islam dan sirah nabi yang disampaikan oleh ustaz pembimbing sepanjang sesi ziarah.
Menurutnya, taklimat awal secara mendalam yang diberikan ketika di dalam bas sebelum tiba di tapak bersejarah seperti lokasi Peperangan Badar dan Uhud membantu jemaah memahami impak peristiwa tersebut dengan lebih jelas.
“Penerangan yang diberikan sangat hidup dan realistik. Kami dapat menghayati dengan mendalam bahawa peristiwa seperti Perang Badar itu bukan berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan ketetapan yang telah diaturkan oleh Allah SWT,” katanya.
Tambahnya lagi, kualiti bimbingan ilmu serta dedikasi para petugas merupakan kekuatan utama Andalusia yang memberi nilai tambah berbeza berbanding agensi pengelola haji yang lain.
Sementara itu, seorang lagi jemaah haji Andalusia, Meor Syazali Mohamed Sapawi berkata, kesiapsiagaan barisan petugas dan mutawif yang berpengalaman amat membantu jemaah melaksanakan setiap rukun haji dengan mudah dan sempurna.
Jelasnya, pemilihan lokasi penginapan serta kedudukan khemah yang dekat di Mina turut memberi kelebihan besar dalam memberikan keselesaan fizikal serta memudahkan pergerakan urusan ibadah jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kami sangat berpuas hati kerana telah diberi latihan dan bimbingan awal yang jelas sebelum berangkat dari tanah air. Pengisian program seperti ceramah dan siri ziarah yang padat di sana memastikan kami benar-benar faham dan bersedia,” katanya yang berasal dari Johor Bahru itu. – UTUSAN










