Empat ahli Parlimen Bersatu sokong PM tak layak jadi calon PRU-16 - Utusan Malaysia

Empat ahli Parlimen Bersatu sokong PM tak layak jadi calon PRU-16

Empat Bersatu
WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat ahli parlimen daripada Parti Bersatu yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat baru-baru ini perlu ditolak daripada menjadi calon dalam pilihan raya umum seterusnya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau mencadangkan tindakan sedemikian apabila kesemua mereka sanggup berbeza prinsip dengan pimpinan parti dengan menyokong Perdana Menteri.

“Saya tidak tahu apa yang akan diputuskan oleh parti mengenai calon, tetapi pandangan peribadi saya, mereka tidak layak menjadi calon seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas empat ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan mereka kepada kepimpinan Anwar, termasuk dua daripadanya dalam tempoh kurang 24 jam antara satu sama lain menyokong Anwar.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim semalam dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik hari ini.  

Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili masing-masing digantung keahlian empat dan enam tahun oleh Bersatu, manakala dua lagi bakal menerima nasib yang serupa selepas ini. 

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini mendakwa, tindakan menakut-nakutkan pemimpin itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, SPRM telah menafikan bahawa badan berkuasa itu terlibat dalam pengisytiharan sokongan Iskandar Dzulkarnain, manakala dakwaan pihaknya telah mengugut ahli Parlimen itu bertujuan mencemar nama baik SPRM.  

Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa amalan politik wang semakin berleluasa di bawah kerajaan pimpinan Anwar dan menggunakan wang rakyat untuk ‘membeli’ sokongan. 

“Ini menunjukkan serangan yang dibuat ke atas Bersatu ini adalah benar berlaku dna kita lihat juga apa yang dilakukan oleh Labuan dengan cara terbuka mengakui mendapat peruntukan dari kerajaan, membuktikan politik wang berleluasa di zaman Anwar.

“Tapi bagi saya ini juga menjadi satu pengiktirafan bahawa Bersatulah ancaman sebenar kepada kerajaan Anwar menyebabkan beliau bertubi-tubi menyerang kita.

“Kami faham tindakan mereka ada kesannya terhadap parti, tetapi Bersatu kena terima hakikat kita sedang diperhati dan kita pun ambil berat akan apa yang berlaku dan akan bincang tindakan selanjutnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya