KOTA BHARU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini membuat ketetapan mempertahankan kuasa dewan dalam menggubal kesalahan berkenaan hukum syarak sebagaimana termaktub dalam senarai negeri termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1 Negeri Kelantan 2019 (Enakmen 14).
Usul yang dibawa Wan Rohimi Wan Daud [Pas-Melor] itu mendapat persetujuan sebulat suara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berdiri teguh menyokong segala tindakan kerajaan negeri Kelantan dalam mempertahankan enakmen syariah berkenaan.
Menerusi cadangan usul berkenaan, Wan Rohimi berkata, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) ini bukan bermula pada 2019 sewaktu Pas memerintah Kelantan, tetapi, ia lahir sejak pemerintahan UMNO Barisan Nasional pada 1985 dan perlu dipertahankan bersama.
Menurutnya, umat Islam pada masa ini berdepan dengan cabaran besar yang sangat mencemaskan apabila peranan dan kekuasaan Dewan Yang Mulia ini untuk menggubal apa jua kesalahan bagi penganut-penganut Islam dan terhadap perintah-perintah Agama Islam sedang dicabar di Mahkamah Persekutuan.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarak yang melawan Kerajaan Selangor dan Majlis Agama Islam negeri Selangor yang diputuskan Februari 2021 membuka ruang kebanjiran serang litigasi strategi yang sangat membimbangkan umat Islam di Kelantan dan seluruh negara.
“Melalui keputusan sebulat suara oleh sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan ini, dalam membatalkan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi kesalahan liwat atau persetubuhan luar tabii bagi penganut Islam.
“Secara efektifnya membuka ruang seluas-luasnya kepada serangan litigasi strategik oleh kumpulan tertentu, terhadap semua kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama sedia ada yang telah lama digubal,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Rohimi berkata, tindakan dua beranak yang memfailkan cabaran perlembagaan untuk membatalkan 20 peruntukan (sekarang dipinda kepada 18 peruntukan) EKJS (1) 2019 berasaskan prinsip undang-undang dalam Iki Putra tidak sewajarnya dipandang ringan.
Katanya, pihaknya percaya usul berkenaan melengkapi kehendak Perkara 30(1) dan (2), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN Kelantan iaitu yang melibatkan perkara yang mustahak bagi orang ramai, merupakan perkara tertentu dan mustahak yang berkehendak disegerakan dan berkepentingan ramai.
“Usaha Kerajaan Kelantan mengadakan Roadshow Pertahan Enakmen Syariah ke seluruh pelosok negeri, munajat pertahan syariah dan perhimpunan munajat di Pekarangan Istana Kehakiman 20 November lalu adalah langkah terpuji dan perlu diteruskan.
“Kami berdiri teguh di belakang Menteri Besar dan seluruh ketumbukan kerajaan ini untuk terus mara dalam perjuangan ini,” katanya. -UTUSAN










