TikTok paling kerap digunakan untuk buli siber

DEWAN RAKYAT: TikTok paling kerap digunakan untuk buli siber

TEO Nie Chieng pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. - FOTO/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform media sosial TikTok paling kerap digunakan untuk tujuan buli siber apabila sebanyak 804 kandungan berkaitan buli siber diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama platform media sosial.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Sejak 1 Januari tahun ini sehingga 15 November 2023, pihak MCMC dengan kerjasama platform media sosial menurunkan 1,147 kandungan berkaitan buli siber atau harassment.

“Statistik menunjukkan sejumlah 804 kandungan buli siber dari Tiktok diikuti Facebook dengan 195 kandungan, Instagram (9), Youtube (9),  X (7) dan lain-lain sebanyak 123 kandungan,” katanya.

Namun, beliau terbuka dengan usaha untuk menggubal undang-undang khusus untuk menangani isu buli siber di negara ini.

“Buli siber bukan isu remeh temeh, tidak boleh dipandang ringan, jadi, saya terbuka terima cadangan, mungkin satu akta khusus boleh diwujudkan untuk buli siber dan saya akan membawa cadangan ini untuk berbincang dengan pihak lain dan mengenal pasti kementerian yang sesuai untuk membawa akta ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin [PN-Masjid Tanah] mengenai cadangan perundangan khusus iaitu akta anti buli bagi menangani kes buli siber terutama dalam kalangan pelajar secara lebih berkesan.

Nie Ching bagaimanapun menafikan MCMC menyalah guna kuasa terhadap orang ramai melalui Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

“Sejak Januari 2018 hingga 15 November 2023, kes disiasat bawah Seksyen 233 adalah sebanyak 876 kes, jadi kalau sesuatu kes disiasat pihak polis, pihak MCMC tidak akan menjalankan siasatan kerana ini double jeopardy (tidak boleh didakwa kali kedua atas kes sama).

“Jika tidak disiasat pihak polis, maka pihak MCMC masih mempunyai punca kuasa menjalankan siasatan, namun untuk bawa kes tersebut ke mahkamah akan rujuk kepada polis atau Peguam Negara sama ada bawa ke mahkamah atau tidak. Setakat tahun 2018 hingga 15 November, sebanyak 65 kes dibawa ke mahkamah atas Seksyen 233,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN