Hamas bukti bukan halang damai apabila bubar kerajaan - Utusan Malaysia

Hamas bukti bukan halang damai apabila bubar kerajaan

SEORANG pejuang Hamas sebelum kerajaan pergerakan itu dibubarkan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Keputusan Hamas membubarkan kerajaan pentadbirannya di Gaza didakwa bertujuan memberi isyarat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa kumpulan itu bukan penghalang kepada pelan damai di wilayah berkenaan.

Menurut laporan Middle East Eye, penganalisis percaya tindakan itu membuktikan Hamas berbeza dengan Israel yang setiap hari melakukan pengeboman dan pembunuhan di Gaza.

“Hamas sebenarnya lebih bersedia menyerahkan pentadbiran awam di Gaza dengan Jawatan­kuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG) berban­ding Pihak Berkuasa Palestin (PA),”  kata felo penyelidik kanan Program Asia Barat di Institut Quincy untuk Kenegaraan Bertanggungjawab, Khaled Elgindy.

Hamas kelmarin mengumum­kan pembubaran badan yang mentadbir Gaza selama hampir dua dekad.

“Ketua jawatankuasa kecemasan kerajaan, Mohammed al-Farra, secara rasmi mengemukakan peletakan jawatannya. Beliau juga memutuskan pembubaran jawatankuasa itu bagi memudahkan peralihan pentadbiran kepada NCAG,” kata ketua pejabat media kerajaan Hamas, Ismail al-Thawabta kepada AFP.

NCAG adalah jawatankuasa yang terdiri daripada teknokrat Palestin dari Gaza yang bertujuan mentadbir urusan harian di wilayah berkenaan, sebagai sebahagian pelan damai yang diusahakan AS, Qatar dan Mesir pada September 2025 bagi menamatkan konflik Israel di wilayah itu.

Jawatankuasa itu masih belum dapat memasuki Gaza dan kini beroperasi di Kaherah.

Sementara itu, Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza, mengorbankan lebih 1,000 nyawa sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai.

Israel turut mengehadkan kemasukan bantuan ke wilayah tersebut dan memperluaskan kehadiran tenteranya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan menguasai hampir 70 peratus kawasan Gaza.

Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Trump didakwa gagal mengutuk serangan berterusan Israel ke atas Gaza dan pengambilalihan tanah di wilayah itu.

Akhbar Israel Hayom me­laporkan, badan itu turut menyelia rancangan untuk me­nempatkan rakyat Palestin di kawasan yang digelar zon kemanusiaan bebas Hamas.

Lembaga itu berkata, pihak­nya mengambil maklum keputusan Hamas dan menggesa supaya semua senjata diletakkan di bawah kawalan NCAG.

Hamas mula mentadbir Gaza pada 2006 selepas memenangi majoriti kerusi dalam badan perundangan Palestin dan membentuk Kabinet. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN