DEWAN RAKYAT: Tiga kaedah penyasaran semula subsidi petrol, diesel - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Tiga kaedah penyasaran semula subsidi petrol, diesel

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi memberitahu, penyasaran semula subsidi petrol dan diesel akan dilaksana dalam tiga kaedah dan dikemukakan untuk pertimbangan Kabinet bulan ini.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, kaedah tersebut ialah pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan pendapatan belanja bersih secara individu melalui pendekatan perlindungan sosial.

Bagaimanapun katanya, keputusan khusus akan diumum mengikut garis masa yang ditetapkan.

Katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi itu hanya boleh dilaksana selepas tempoh pengesahan dan verifikasi maklumat isi rumah dan pendapatan selesai.

“Pemberian subsidi secara bersasar mengikut kelayakan boleh belanja bersih isi rumah dan melalui pendekatan hibrid iaitu gabungan perlindungan sosial serta bantuan sosial.

“Pemberian subsidi secara bersasar juga mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih secara isi rumah dan individu tetapi dilaksana menggunakan kaedah kad subsidi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung program libat urus yang akan dilaksana oleh kerajaan dengan semua pemegang taruh sebelum rancangan subsidi bersasar dilaksana pada 2024, jenis subsidi bersasar yang bakal dilaksana dan manfaat yang boleh dinikmati oleh ekonomi negara.

Rafizi berkata, sejak 2015 sehingga 2023, jumlah subsidi dan bantuan sosial yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM294.5 bilion atau 10.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh yang sama.

Katanya, Belanjawan 2024 memperuntukkan RM58.1 bilion untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat.

“Kerajaan mengenal pasti penyasaran semula subsidi sebagai inisiatif utama bagi memastikan keberkesanan pemberian bantuan serta menambah baik kedudukan fiskal kerajaan, perbincangan mengenai kaedah pelaksanaan program subsidi petrol dan diesel dilakukan di Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Mei, Jun, Julai dan September.

“Perbincangan itu menjurus kepada satu cadangan bersepadu yang akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri bulan ini, bersesuaian dengan jadual pelaksanaan penyasaran semula subsidi petrol dan diesel yang dijangka bermula pada 2024,” katanya.

Rafizi berkata, mengikut pelan pelaksanaan dan garis masa yang ditetapkan untuk mengimbangi risiko inflasi yang bersifat spekulatif, kerajaan tidak mengumumkan bentuk dan kaedah penyasaran semula subsidi diesel dan petrol secara terperinci, buat masa ini.

“Bagaimanapun saya boleh memaklumkan kepada dewan bahawa beberapa kaedah utama yang dibincang dan dibentangkan setakat ini boleh dirangkum kepada tiga kaedah seperti yang saya sebutkan,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, pentadbiran kerajaan akan terbantut dan matlamat tergelincir jika tidak melaksanakan penyasaran semula subsidi. 

Menurutnya, pelaksanaan subsidi secara bersasar akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara untuk mencapai sasaran defisit dikurangkan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025.

“Kejayaan mengurangkan defisit itu, dijangka mengurangkan hutang negara untuk mencapai sasaran-sasaran pengurangan hutang seperti yang telah digariskan dalam Belanjawan 2024.

“Kalau kita capai sasaran defisit 3.5 peratus pada tahun 2025, maknanya hutang kita boleh berkurangan bermula 2026 dan ke atas. Kalau kita tergelincir sasaran itu, maka tempoh masa untuk kita kurangkan hutang negara akan jadi lebih panjang dan susah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN