KUALA LUMPUR: Seramai 6.3 juta pencarum berumur di bawah 55 tahun atau 48 peratus mempunyai baki simpanan kurang dari RM10,000 sekali gus berada di tahap serius.
Kementerian Kewangan berkata, pendapatan persaraan bagi para pencarum dijangka kurang RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.
Kementerian Kewangan juga memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding 4.7 juta ahli atau 37 peratus yang direkodkan pada April 2020 iaitu sebelum pengeluaran khas berkaitan Covid-19 yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.
“Ketika negara menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas, keadaan itu bakal memberi impak amat besar kepada negara dan rakyat terutama dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup dan kesihatan.
“Implikasi pengeluaran tambahan daripada Akaun 1 juga memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara dalam kalangan ahli KWSP,” katanya dalam jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan untuk meningkatkan had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun.
Katanya, insentif itu tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi setiap individu yang layak.
Katanya, kerajaan juga akan memberi insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarum ke dalam Skim KWSP oleh suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih di bawah program i-Suri untuk menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu.
Bagaimanapun, katanya, insentif itu tertakluk kepada insentif padanan maksimum sebanyak RM300 setahun.
“Kedua-dua insentif ini bertujuan untuk menarik lebih ramai ahli mencarum secara sukarela ke dalam program i-Saraan dan i-Suri serta pada masa yang sama membantu meningkatkan caruman ahli menerusi geran padanan yang diberikan tersebut.
“Strategi dan langkah-langkah KWSP untuk meningkatkan semula simpanan yang terjejas KWSP telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam usaha membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka.
“Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi 11 peratus iaitu kadar caruman berkanun syer pekerja pada bila-bila masa,” katanya. -UTUSAN










