KOTA BHARU: Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan senarai calon yang akan bertanding dan mewakili mereka di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Jumaat ini.
Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kesemua senarai berkenaan sudah dilengkapkan dan akan kekal dalam simpanan beliau serta bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad sehingga tempoh berkenaan.
Menurutnya, proses pencarian serta pemilihan calon berjalan dengan baik dan pihaknya telah menerima begitu banyak permohonan yang membolehkan mereka memilih individu-individu menepati kriteria ditetapkan bagi mewakili Bersama.
“Pada mulanya kami bimbang memikirkan sama ada boleh menampilkan calon-calon berkualiti serta menepati mesej yang dibawa oleh Bersama. Maksudnya dari segi umur, latar belakang dan sebagainya.
“Namun kaedah membuka pencalonan begitu mendapat sambutan dan kami menerima banyak permohonan. Ia membolehkan kita memilih calon-calon yang dapat diterima baik oleh masyarakat dan setanding mutunya dengan calon dari lain-lain parti,” katanya ketika ditemui selepas sesi Jelajah Kancil Negeri Kelantan di Pantai Cahaya Bulan, di sini malam tadi.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu memberitahu, pihaknya menerima kejutan apabila turut menerima permohonan daripada kalangan penjawat awam serta pesara kerajaan berjawatan tinggi untuk menjadi ahli dan calon mewakili Bersatu.
Katanya, situasi berkenaan membolehkan Bersama lari daripada serangan stereotaip ditujukan kepada parti-parti baharu sepertinya, termasuk mengatakan ia bukan parti Melayu yang cuba meraih undi dari kaum Cina dan India.
“Perkara luar jangka setakat ini adalah sambutan paling baik diterima parti ini datang daripada pengundi Melayu, terutama golongan profesional serta inteligensia, termasuk bekas-bekas pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang masih berkhidmat.
“Dalam masa terdekat, kami akan umumkan pesara-pesara kerajaan berjawatan tinggi yang menawarkan diri sebagai calon mewakili Bersama, termasuk di Parlimen Putrajaya,” ujarnya.
Rafizi berkata, Bersama akan mengumumkan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka di PRN Johor pada Isnin.
Katanya, selain itu Bersama sudah menyenarai pendek kerusi-kerusi serta calon-calon yang akan mewakili Bersama untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan.
“Kita sudah teliti permohonan sebagai calon PRN Negeri Sembilan. Cuma, buat masa ini tumpuannya adalah Johor. Sebagai parti baharu, kita kena beri tumpuan kepada persiapan jentera dan jika berjaya di PRN Johor, mudah untuk dibawa ke Negeri Sembilan nanti,” ujarnya.-UTUSAN










